Connect with us

Terkini

Waspada taktik Israel nafi operasi pengintipan di negara asing – Pakar keselamatan

Malaysia perlu sentiasa berwaspada dengan taktik penafian digunakan Israel untuk menjalankan operasi pengintipan di negara asing.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Pakar keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mizan Aslam.
  • Pakar keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mizan Aslam berkata taktik sama pernah berlaku dalam kes pembunuhan pakar komputer warga Palestin di Malaysia pada 2018.
  • “Israel menggunakan taktik sama. Mereka melakukan pembunuhan dengan alasan menyasarkan pejuang Hamas. Pada masa sama tidak ada pihak boleh menafikan naratif mereka bawa.
  • “Maka, taktik sama akan dilakukan di negara ini jika Israel hendak membunuh sesiapa sahaja. Mereka akan katakan bahawa operasi tersebut menyasarkan Hamas,” katanya dipetik Astro Awani di sini pada Selasa.
  • Media sebelum ini melaporkan alasan warga Israel yang ditahan, Avitan Shalom, bahawa dia masuk ke Malaysia untuk memburu ‘Eran Haya’, kononnya disebabkan persaingan keluarga mafia, mungkin sekadar dicipta bagi mengalihkan tumpuan siasatan.
  • Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata keutamaan PDRM ketika ini adalah menentukan motif sebenar lelaki berkenaan, selain memburu lebih dari dua lagi individu lain untuk membantu siasatan.

KUALA LUMPUR — Malaysia perlu sentiasa berwaspada dengan taktik penafian digunakan Israel untuk menjalankan operasi pengintipan di negara asing.

Pakar keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mizan Aslam berkata taktik sama pernah berlaku dalam kes pembunuhan pakar komputer warga Palestin di Malaysia pada 2018.

“Israel menggunakan taktik sama. Mereka melakukan pembunuhan dengan alasan menyasarkan pejuang Hamas. Pada masa sama tidak ada pihak boleh menafikan naratif mereka bawa.

“Maka, taktik sama akan dilakukan di negara ini jika Israel hendak membunuh sesiapa sahaja. Mereka akan katakan bahawa operasi tersebut menyasarkan Hamas.

“Seterusnya, mengambil contoh kes pembunuhan pakar komputer warga Palestin, Dr Fadi Mohammad al-Batsh, pada 2018. Kita dapat maklumat daripada sumber Hamas, bahawa pembunuh itu merupakan sebahagian operasi Mossad,” katanya dipetik Astro Awani di sini pada Selasa.

Mizan berkata insiden kali ini menyebelahi Malaysia apabila suspek berjaya diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun cabaran mencari kebenaran mengenai apa sebenarnya berlaku masih nyata.

“Berbezanya kali ini, PDRM berjaya menangkap seorang individu yang memegang pasport Perancis dan pasport Israel.

“Kita lihat Israel sudah tidak dapat lari, tetapi dicipta pula alasan lain, kononnya individu tersebut dalam operasi membunuh warga Israel dan sebagainya. Ini semua jenayah terancang,” katanya.

Terbaharu, media melaporkan alasan warga Israel yang ditahan, Avitan Shalom, bahawa dia masuk ke Malaysia untuk memburu ‘Eran Haya’, kononnya disebabkan persaingan keluarga mafia, mungkin sekadar dicipta bagi mengalihkan tumpuan siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan sebagai berkata keutamaan PDRM ketika ini adalah menentukan motif sebenar lelaki berkenaan, selain memburu lebih dari dua lagi individu lain untuk membantu siasatan.

Beliau berkata setakat ini polis membuka dua kertas siasatan, masing-masing untuk lelaki Israel terbabit dan pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki menyediakan senjata berkenaan.

“Siasatan kita buat pada awalnya bawah seksyen 12 Akta Pasport 1966, tetapi bila kita jumpa senjata, kita telah mengklasifikasikan semula siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971, hukuman lebih berat, iaitu hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan sebat.

“Siasatan kita menjurus kepada pencakapan saksi untuk kita tentukan bahawa siasatan ke arah Seksyen 7 ini dapat kita bentangkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat, dengan 23 saksi dari polis, dan juga orang awam,” katanya.

Razarudin mendedahkan senjata berkenaan diperoleh dari Thailand dengan harga setiap satu sekurang-kurangnya RM10,000.

Jumaat lalu, pihak keselamatan dilaporkan menahan seorang lelaki warga Israel yang menggunakan pasport Perancis dan merampas enam pucuk pistol.

Razarudin berkata ketika disoal siasat polis suspek berusia 36 tahun itu memberitahu kedatangannya ke Malaysia bagi mencari seseorang untuk dibunuh.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata semakan mendapati pasport Perancis milik suspek dikeluarkan Kedutaan Perancis di Tel Aviv dan pasport itu sah. — The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending