Antarabangsa
(VIDEO) Aktivis wanita Kristian Sweden bakar al-Quran sambil pegang salib
Seorang aktivis wanita Kristian mengadakan acara pembakaran al-Quran di ibu negara Sweden, lapor media berita Turkiye A Haber di platform X semalam.
Seorang aktivis wanita Kristian mengadakan acara pembakaran al-Quran di ibu negara Sweden, lapor media berita Turkiye A Haber di platform X semalam.
RT memetik media itu melaporkan kejadian tersebut berlaku pada 26 April di Stockholm.
Video disiarkan dalam talian itu memaparkan individu yang dikenali sebagai Jade Sandberg, 48, dilihat membakar kitab suci umat Islam sambil melambai-lambai salib di depannya sambil menjerit “Islam keluar dari Sweden!”.
Acara itu dipercayai mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan kerana pegawai polis di lokasi kejadian dilihat tidak cuba menghalangnya.
Sandberg juga menyiarkan rakaman dan gambar demonstrasinya di akaun X-nya sendiri di mana dia mendakwa dirinya sebagai “pendeta, pengusir setan, ahli demonolog,” serta “aktivis dan pejuang salib menentang agama syaitan Islam”.
Pembakaran al-Quran dilakukannya pada minggu ini merupakan sekurang-kurangnya yang kedua untuk tahun ini.
Banyak protes seperti itu berlaku di seluruh Sweden sejak 2023 apabila ahli politik sayap kanan Denmark, Rasmus Paludan yang memegang kewarganegaraan Sweden, membakar kitab agama Islam itu di hadapan Kedutaan Turkiye pada Januari 2023.
Pihak berkuasa Sweden mengecam tindakan sedemikian tetapi masih membenarkan mereka meneruskannya kerana memetik undang-undang negara yang menjamin hak kebebasan bersuara.
Di bawah Akta Ketenteraman Awam negara, seseorang itu mesti memohon permit daripada polis untuk mengadakan protes, tetapi permintaan hanya boleh ditolak atas alasan keselamatan.
Awal bulan ini, saluran televisyen Sweden SVT melaporkan polis menerima satu lagi permintaan untuk mengadakan demonstrasi membakar al-Quran pada 3 Mei kelak.
Stockholm berkata tahun lalu ia merancang untuk meminda Akta Ketenteraman Awam bagi mengelakkan insiden pembakaran al-Quran pada masa hadapan.
RT melaporkan penggubal undang-undang Sweden dijangka memuktamadkan semakan terhadap draf undang-undang itu menjelang awal musim panas. – The Merdeka Times