Kolumnis
Halatuju Undang-undang Jenayah Syariah Negeri-negeri Pasca Keputusan Nik Elin Zurina
JUMAAT lalu genap seminggu keputusan dalam kes Nik Elin Zurina vs Kerajaan Negeri Kelantan diputuskan Mahkamah Persekutuan.
JUMAAT lalu genap seminggu keputusan dalam kes Nik Elin Zurina vs Kerajaan Negeri Kelantan diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Pelbagai reaksi timbul daripada keputusan tersebut daripada ramai pihak.
Malah, pelbagai cadangan penyelesaian dikemukakan pengamal undang-undang serta pihak yang ingin melihat kerelevanan undang-undang jenayah syariah seperti termaktub di dalam enakmen/akta jenayah negeri.
Cadangan ini melibatkan pelbagai disiplin dalam struktur Perlembagaan Persekutuan, termasuk kesungguhan pihak legislatif iaitu Ahli-ahli Parlimen untuk menggerakkan pindaan undang-undang termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pihak legislatif ini selaku Ahli-ahli Parlimen, khususnya Ahli Parlimen beragama Islam, perlulah sepakat di dalam hal ini dalam memastikan pindaan undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan dapat direalisasikan.
Perbezaan fahaman politik Ahli-ahli Parlimen perlu diketepikan di dalam menjamin matlamat ini dapat dicapai.
Jika tiada sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen beragama Islam, maka sudah pasti keputusan mahkamah Persekutuan di dalam kes Nik Elin Zurina dan Iki Putra Mubarak akan terus menjadi batu asas kepada cabaran enakmen/akta jenayah syariah negeri terus dilakukan dan tidak akan berterusan.
Dalam keadaan masyarakat majmuk ini, kita juga tidak menafikan hak kaum lain selain bumiputera Melayu Islam, namun usaha untuk memberi pemahaman kepada Ahli-ahli Parlimen bukan islam wajar digerakkan di dalam memastikan kuasa negeri dan Persekutuan dapat diharmonikan melalui pindaan ini.
Kita juga wajar melihat kepada faktor perbezaan ini dapat disamakan dalam memastikan umat islam di dalam negara ini dapat mengamalkan salah satu cabang daripada amalan undang-undang Islam yang digubal melalui Dewan Undangan Negeri (DUN).
Justeru, tugas ini perlu dipikul bersama pelbagai pihak di dalam mengangkat kembali pengamalan undang-undang jenayah syariah negeri-negeri dapat dilaksanakan dan diharmonikan.
Malah, ini wajar dilakukan segera bagi mengatasi persepsi bahawa undang-undang Islam yang digubal melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) ini, kononnya adalah bersifat kelas kedua di negara ini. – The Merdeka Times
Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.