Antarabangsa
(VIDEO) Pemimpin Arab tandatangan Abraham Accords ibarat ‘tikam belakang’ rakyat Palestin – Profesor Avi Shlaim
Sejarawan Israel-British menyifatkan pemimpin Arab yang menandatangani Perjanjian Abraham Accords (Abraham Accords) sebagai tindakan ‘menikam belakang’ rakyat Palestin.
Sejarawan Israel-British menyifatkan pemimpin Arab yang menandatangani Perjanjian Abraham Accords (Abraham Accords) sebagai tindakan ‘menikam belakang’ rakyat Palestin.
Profesor Avi Shlaim berkata demikian dalam Emergency Conference of Global Intellectuals of Conscience to Stop Genocide in Gaza di London, United Kingdom (UK), semalam.
“Saya sangat menentang Abraham Accords kerana ia bukan perjanjian damai antara masyarakat demokratik.
“Ia adalah perjanjian transaksi antara pemerintah Arab autoritarian dan negara aparteid. Bagi penandatangan Arab Abraham Accords ini, tindakan (mereka) ini bersamaan dengan satu tikaman belakang ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam video persidangan itu disiarkan di media sosial MEE hari ini.
Avi turut mengecam tindakan berterusan peneroka zionis dan imperialisme Amerika Syarikat (AS) yang terus menerus menzalimi warga Palestin dalam perjuangan untuk kekal bermaruah di atas bumi mereka sendiri.
“Tiga rukun Yahudi ialah kebenaran, keadilan dan keamanan. Kerajaan Netanyahu bertentangan dengan nilai teras Yahudi ini.
“Ia kerajaan yang paling agresif, (dengan) dasar peluasan, terang-terangan (bersifat) perkauman dan ketuanan keagungan Yahudi dalam sejarah Israel.
“Intipati agama Yahudi adalah “tanpa kekerasan”. Kerajaan (Israel) sekarang adalah antitesis kepada intipati ini.
“Sebagai seorang Yahudi dan seorang warga Israel, saya merasakan bahawa saya mempunyai tanggungjawab moral untuk mengecam penjajahan peneroka zionis dan imperialisme Amerika dan berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan anti-penjajah, dalam perjuangan keadilan, untuk kehidupan yang aman dan bermaruah di atas tanah mereka sendiri,” kata Avi. – The Merdeka Times