Antarabangsa
Kerajaan Turkiye dan rakyat bersatu boikot perniagaan pro-Israel
Turkiye baru-baru ini meluaskan pengaruh boikotnya dengan menyelaraskan gerakan individu, institusi-institusi dan badan-badan kerajaan.
- Turkiye baru-baru ini meluaskan pengaruh boikotnya dengan menyatukan sokongan dan gerakan individu, pelbagai institusi, sehaluan dengan gerak kerja badan-badan kerajaan.
- Bermula dengan syarikat kereta api negara Turkiye (TCDD) yang menghentikan penjualan produk Starbucks, langkah itu mendapat persetujuan dan sokongan pelbagai pihak.
- Pengaruh boikot itu disusuli Turkish Airlines, Parlimen Turkiye dan majlis perbandaran tempatan Turkiye yang turut mengambil langkah sama menyertai boikot tersebut.
Turkiye baru-baru ini meluaskan pengaruh boikotnya dengan menyelaraskan gerakan individu, institusi-institusi dan badan-badan kerajaan.
Syarikat kereta api negara Turkiye (TCDD) memulakan gerakan boikot dengan menghentikan penjualan produk Starbucks di syarikat pengangkutan awam tersebut.
Langkah itu mendapat persetujuan dan sokongan pelbagai pihak.
Kemudian Turkish Airlines, Parlimen Turkiye dan majlis perbandaran tempatan negara itu mengambil langkah sama menyertai boikot tersebut.
Keputusan itu menurut Pengurus Besar TCCD, Ufuk Yalcin, disebabkan sokongan jenama tersebut terhadap pembunuhan beramai-ramai dilakukan pengganas zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Enis Doko, Professor Falsafah di Universiti Ibn Haldun pula berkata, boikot merupakan sesuatu yang lebih besar daripada tekanan kewangan.
“Ini juga langkah demokrasi yang sangat sihat di pihak syarikat milik kerajaan. Mereka adalah perniagaan orang ramai dan harus mendengar kebimbangan orang ramai.
“Hakikat bahawa mereka mengambil tindakan pantas, adalah berita yang sangat baik. Ia juga meningkatkan moral pemboikot individu,” tambah Doko.
Profesor Doko turut menyifatkan penyelarasan gerakan boikot ini memberi signal jelas bahawa “kebimbangan rakyat Turkiye dikongsi dan diwakili kerajaan Turkiye”.
Turut bersetuju dengan gerakan ini, Profesor Sosiologi di Universiti Mount Royal, Muhannad Ayyash.
Menurutnya, gabungan individu dan institusi besar dalam gerakan boikot ini akan menghantar mesej kepada syarikat-syarikat lain bahawa penglibatan dalam pembunuhan beramai-ramai akan berdepan impak ekonomi.
Professor ekonomi di Universiti Birzeit, Samia Al Botmeh turut mengingatkan bahawa kesan boikot akan sentiasa kekal lemah, simbolik dan tidak konsisten, jika tekanan popular ini tidak diubah menjadi dasar kerajaan.
Memandangkan pencabulan Israel bukan sahaja di Gaza tetapi di wilayah Palestin lain yang diduduki maka pakar-pakar ini melihat bahawa gerakan boikot sesuatu yang penting dalam meneruskan penentangan terhadap Israel dan dasar-dasarnya.
Sumber: TRT