Antarabangsa
Gencatan senjata di Gaza dilanjut sehari lagi
Israel dan Hamas mencapai kata sepakat melanjutkan tempoh gencatan senjata sehari lagi sehingga 7 pagi (waktu Palestin) esok.
- Israel dan Hamas mencapai kata sepakat melanjutkan tempoh gencatan senjata sehari lagi sehingga 7 pagi (waktu Palestin) esok.
- Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari mengesahkan, kesepakatan terbaharu kedua-dua pihak itu bagi menyambung tempoh gencatan senjata enam hari yang berakhir hari ini.
- “Syarat sama sebelumnya terpakai iaitu gencatan senjata dan kemasukan bantuan kemanusiaan, dalam rangka rundingan pengantara bersama Qatar,” katanya dalam satu kenyataan.
Doha – Israel dan Hamas mencapai kata sepakat melanjutkan tempoh gencatan senjata sehari lagi sehingga 7 pagi (waktu Palestin) esok.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari mengesahkan, kesepakatan terbaharu kedua-dua pihak itu bagi menyambung tempoh gencatan senjata enam hari yang berakhir hari ini.
“Pihak Palestin dan Israel mencapai persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata kemanusiaan di Semenanjung Gaza untuk tambahan sehari lagi.
“Syarat sama sebelumnya terpakai iaitu gencatan senjata dan kemasukan bantuan kemanusiaan, dalam rangka rundingan pengantara bersama Qatar,” katanya dalam satu kenyataan.
Tentera Israel berkata, jeda operasi akan dilanjutkan.
“Memandangkan usaha pengantara untuk meneruskan proses membebaskan tebusan dan tertakluk kepada terma rangka kerja, jeda operasi akan diteruskan,” katanya.
Sementara itu tanpa memperincikan maklumat lanjut, kumpulan Hamas berkata, lanjutan gencatan senjata untuk hari ketujuh itu mempunyai perjanjian.
Terdapat tekanan untuk melanjutkan jeda bagi membolehkan lebih banyak pembebasan tebusan dan bantuan tambahan ke Gaza yang musnah dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken tiba di Israel, malam tadi bagi rundingan itu.
Perjanjian gencatan senjata itu membenarkan lanjutan jika Hamas boleh membebaskan 10 lagi tebusan sehari dan sumber yang rapat dengan kumpulan itu mendakwa, pihaknya bersedia untuk memanjangkan jeda selama empat hari.
Namun, sejam sebelum gencatan senjata itu tamat, Hamas berkata tawarannya untuk membebaskan tujuh lagi tebusan dan menyerahkan mayat tiga lagi yang terbunuh dalam pengeboman Israel ditolak rejim itu.
Kedua-dua pihak sebelum ini menyatakan mereka bersedia untuk kembali bertempur.
Sayap bersenjata Hamas memaklumkan pejuangnya supaya bersiap siaga menyambung semula pertempuran dengan Israel jika lanjutan gencatan senjata tidak diperbaharui.
Pada masa sama, jurucakap Tentera Pertahanan Israel (IDF), Doron Spielman berkata, tentera akan bergerak ke dalam mod operasi dengan cepat dan meneruskan sasarannya di Gaza jika gencatan senjata tamat, hari ini.
Sumber: Harian Metro