Connect with us

Terkini

Gaza perlu 500 kontena bantuan sehari

Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 500 kontena sehari yang membawa bekalan makanan dan keperluan lain bagi mengelakkan penduduknya terjerumus ke dalam situasi lebih kritikal.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Gaza perlu 500 kontena bantuan sehari
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 500 kontena sehari yang membawa bekalan makanan dan keperluan lain bagi mengelakkan penduduknya terjerumus ke dalam situasi lebih kritikal.
  • Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, difahamkan di luar Gaza kini terdapat banyak lori kontena berisi bekalan bantuan yang sedang beratur untuk masuk.
  • “Sekarang Gaza sudah masuk musim sejuk, (ini menandakan) ancaman atau kebarangkalian untuk mati kesejukan tinggi terutama golongan kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
  • Muhd Farhan berkata, bantuan dari segi bekalan perubatan dan makanan bayi sahaja yang boleh masuk secara terus ke Gaza.

PETALING JAYA: Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 500 kontena sehari yang membawa bekalan makanan dan keperluan lain bagi mengelakkan penduduknya terjerumus ke dalam situasi lebih kritikal.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, difahamkan di luar Gaza kini terdapat banyak lori kontena berisi bekalan bantuan yang sedang beratur untuk masuk.

Katanya, lori kontena yang membawa bantuan itu perlu dibawa masuk segera supaya penduduknya dapat bertahan dalam perang yang sudah berlarutan selama lebih 40 hari.

“Sepatutnya dalam sehari Gaza dapat bantuan sebanyak 500 kontena tetapi setakat saya difahamkan sejak perang tercetus iaitu pada 7 Oktober, tidak lebih 300 kontena yang masuk.

“Berdasarkan maklumat kami dapat semasa awal perang, bekalan makanan yang diperoleh Gaza ketika itu pun hanya dapat bertahan setakat sebulan. Sekarang sudah lebih tempoh itu, jika Gaza tidak dapat bantuan maka ada risiko besar seperti kebuluran.

“Sekarang Gaza sudah masuk musim sejuk, (ini menandakan) ancaman atau kebarangkalian untuk mati kesejukan tinggi terutama golongan kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Palestin kini sedang berjuang menentang kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis.

Israel enggan menunjukkan sikap berperikemanusiaan kepada Palestin apabila melakukan pelbagai sekatan seperti bekalan makanan dan air bersih, malah turut menghancurkan hospital, tempat perlindungan rakyat Palestin di Gaza.

Muhd Farhan berkata, bantuan dari segi bekalan perubatan dan makanan bayi sahaja yang boleh masuk secara terus ke Gaza.

“Selain itu bekalan makanan asas dan bantuan keperluan lain perlu melalui pos tentera Israel. Jadi bantuan perlu naik ke se­belah utara untuk diperiksa, jika dibenarkan baru balik ke sebelah selatan untuk sampaikan bantuan kepada penduduk Gaza,” katanya. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *