Terkini
(VIDEO) Mahu buang perkataan ‘India’ di surat kelahiran, Lelaki Tamil malu dikaitkan dengan negara sokong Israel
Sebuah video tular di platform Instagram menunjukkan seorang lelaki Tamil membantah tindakan India menyokong rejim Zionis dalam konflik Palestin-Israel.
KUALA LUMPUR – Sebuah video tular di platform Instagram menunjukkan seorang lelaki Tamil membantah tindakan India menyokong rejim Zionis dalam konflik Palestin-Israel.
Video menunjukkan individu terbabit menyatakan dirinya malu atas tindakan negara itu dan berhasrat untuk membuang perkataan ‘India’ pada surat kelahirannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelak.
Video beliau yang dimuat naik pengguna @yatie.harun_ itu disusuli kenyataan bahawa dirinya cukup dikenali sebagai ‘Tamil Malaysia’ sahaja kerana mengaitkan dirinya dengan India adalah amat memalukannya.
“Mulai saat ini, tolong jangan panggil saya sebagai ‘India’ atau (panggil) kaum Tamil sebagai ‘India’, saya rasa malu dengan nama ‘India’ itu.
“Kenapa tau? (Kerana) negara India sekarang, dia menyokong, dia berpaling tadah terhadap Palestin, rakyat palestin. Dia sekarang menyokong Israel, inilah perangai negara India.
“Ini yang mereka buat di Sri Lanka, mereka menyokong, mereka berpaling tadah terhadap warga Tamil, mereka menyokong rejim Sri Lanka, menyebabkan ribuan warga Tamil meninggal, mati,” kata lelaki terbabit di dalam video resolusi rendah tular itu.
Beliau turut mempersoalkan tindakan India yang tidak menyebelahi rakyat yang lemah, tetapi bersikap jijik hanya mahu berkomplot dengan negara-negara kuasa besar.
“Saya akan menentang, untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap warganegara India ini, saya akan pergi ke JPN.
“Saya nak tukar, saya nak keluarkan nama ‘India’, bangsa ‘India’ dalam surat beranak. Saya nak tukar kepada warga ‘Tamil Malaysia’, ini salah satu cara untuk saya nak tunjukkan rasa tidak puas hati kepada negara India,” katanya.
Individu itu menyeru rakyat Malaysia menolak sepenuh hati penindasan ke atas Palestin selain berterima kasih kepada negara atas inisiatif bantuan perubatan dan makanan dihulurkan kepada warga Palestin. — The Merdeka Times
View this post on Instagram