Terkini
Israel akan hancurkan Gaza jadi padang jarak padang tekukur – CEO Aman Palestin
Penjajah Israel akan menghancurkan Gaza menjadi padang jarak padang tekukur, kata Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut.
- Penjajah Israel akan menghancurkan Gaza menjadi padang jarak padang tekukur, kata Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut.
- Tentera zionis itu juga dijangka merampas semula penempatan yang berjaya diambil alih Al-Qassam atau mujahidin Palestin semasa serangan mengejut dilancarkan pejuang kumpulan itu.
- “Memang betul kereta-kereta kebal sekarang ini sedang bersusun di sempadan Gaza, menanti masa untuk merempuh Gaza, tetapi bagi pejuang-pejuang mujahidin Palestin, mereka memang bersedia untuk menghadapi perang darat yang akan berlaku,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times semalam.
- Beliau menegaskan tiada cara lain untuk menyelesaikan konflik dihadapi Palestin melainkan penjajah Israel dihalau dari tanah yang bukan miliknya.
KUALA LUMPUR —- Penjajah Israel akan menghancurkan Gaza menjadi padang jarak padang tekukur, kata Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut.
Tentera zionis itu juga dijangka merampas semula penempatan yang berjaya diambil alih Al-Qassam atau mujahidin Palestin semasa serangan mengejut dilancarkan kumpulan pejuang tersebut.
“Tiga perkara yang telah mereka (Israel) sebutkan bangsa mereka akan menghancurkan Gaza jadi padang jarak padang tekukur, mereka akan mengembalikan penempatan-penempatan haram, mereka akan mengembalikan balik penempatan-penempatan yang telah diambil alih oleh Al-Qassam ataupun yang diambil alih mujahidin Palestin,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times, semalam.
Awang Suffian berkata penjajah Israel itu tidak mahu wujud campur tangan bersama pihak luar, khususnya Hezbollah dan Iran.
Katanya, dalam peperangan kali ini penjajah Israel turut tidak memberi sebarang amaran melancarkan pengeboman sebagaimana dilakukan sebelum ini yang memberi kesempatan untuk rakyat Palestin melarikan diri sekalipun sehelai sepinggang.
Taktik Israel itu menyebabkan ramai rakyat Palestin syahid dan hampir 200 ribu orang menghuni penempatan segera yang menempatkan pelarian Palestin di sekolah di bawah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
“Jadi ini keadaan yang berlaku tetapi dalam masa sama juga, tentera-tentera mujahidin terus memberikan serangan sebab serangan mereka pada kali ini serangan terus, maknanya mereka masuk kawasan Israel di samping peluru berpandu yang dilancarkan, mereka juga berada di kawasan-kawasan penempatan Israel untuk memusnahkan Israel.
“Kalau kita lihat senario peperangan sekarang ini, Israel sedang mengebom habis-habisan melalui serangan udara dan juga laut kalau ikut mereka punya strategi perang, selepas habis peperangan ataupun selepas habis mereka mengebom udara dan laut, mereka akan merempuh pula Gaza tu menggunakan darat atau pun menggunakan kereta kebal.
“Memang betul kereta-kereta kebal sekarang ini sedang bersusun di sempadan Gaza, menanti masa untuk merempuh Gaza, tetapi bagi pejuang-pejuang mujahidin Palestin, mereka memang bersedia untuk menghadapi perang darat yang akan berlaku,” kata Awang Suffian.
Beliau menegaskan tiada cara lain untuk menyelesaikan konflik dihadapi Palestin melainkan penjajah Israel dihalau dari tanah yang bukan miliknya. —- The Merdeka Times