Terkini
(VIDEO) Kami makan nasi, bukan tepung: Belanja meningkat RM700 sebulan – Rintihan Rakyat
Kenaikan harga barangan secara mendadak, termasuk kekangan mendapatkan beras tempatan, memberi tekanan kepada lapisan masyarakat, khususnya kelompok B40 dan M40 yang rata-rata perlu mengeluarkan kos perbelanjaan melebihi RM700 sebulan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
KUALA LUMPUR — Kenaikan harga barangan secara mendadak, termasuk kekangan mendapatkan beras tempatan, memberi tekanan kepada lapisan masyarakat, khususnya kelompok B40 dan M40 yang rata-rata perlu mengeluarkan kos perbelanjaan melebihi RM700 sebulan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Tinjauan The Merdeka Times di sekitar Setiawangsa mendapati mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan berganda hingga ada yang mendakwa mencecah RM1,400 sebulan, jauh lebih tinggi berbanding kos RM500 sebulan sebelum ini.
Peniaga yang mempunyai tujuh ahli keluarga dan mahu dikenali sebagai Shahrudin berkata, kenaikan harga barangan dirasainya sejak bulan lalu dan kenaikan harga beras memburukkan keadaan.
“Dulu kalau pak cik bawa RM500 rasa cukup ja untuk keluarga pak cik, sekarang bawa RM500 dapat apa ja? Kalau RM500 dapat beras 10kg tapi yang mahal itulah, gula perlulah tapi pak cik jarang pakai dekat rumah dapat dua tiga kilo itu pun dah cukup.
“Kalau total semua perbelanjaan itu termasuk sayur apa dulu cukup, sekarang tak cukup dah. Sekali belanja itu dalam sebulan dua kali kalau RM700 darab dua, dah jadi RM1,400 termasuk beras, gula, minyak apa semua lah barangan sayur, ikan,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Setiawangsa di sini.
Shahrudin berharap kerajaan akan memantau harga barangan yang semakin menindas masyarakat, khususnya B40.
Beliau turut mempersoalkan keberadaan bekalan beras tempatan yang didakwa tidak ditemui di pasar raya dikunjunginya di Setiawangsa.
“Cuba tengok harga beras berapa dekat situ (tunjuk resit perbelanjaan) itu ada dengan tiada ja beras itu. Paling murah beras RM38.50 beras Hayati import okey beras tempatan mana pergi? Tiada langsung beras tempatan dekat pasar raya ini. Macam mana itu?
“Sebab majoriti rakyat Malaysia ini makan nasi bukan makan tepung. Cakap beritahu dengan kerajaan itu kami makan nasi bukan tepung,” katanya turut berkongsi pandangannya sebagai peniaga.
Shahrudin berkata ketika ini beliau tidak mendapat pulangan modal sewajarnya susulan kenaikan harga barangan, termasuk beras.
Katanya, situasi itu dihadapi beliau sekalipun menaikkan harga jualannya RM0.50 untuk sebungkus nasi ayam berempah yang dulu dijual pada harga RM5.50.
“Kalau saya campur (kira) balik apa yang saya jual saya tak dapat apa. Saya cuma dapat tolong orang sahajalah dapat gaji RM20 yang berniaga tepi jalan itu. Apa guna saya berniaga macam itu dengan barang-barang harga macam ini? Minta tolong sangat kerajaan pantau harga macam ini janganlah harga menindas sangat,” kata Shahrudin.
Senasib dengan beliau adalah peniaga nasi lemak di Ampang Jaya yang memberitahu dalam sehari lebih RM200 dibelanjakan untuk membeli barangan mentah dan kering berbanding sebelum ini hanya RM150.
“Kalau dulu saya berniaga kecil-kecilan sahajalah pasang payung berniaga nasi lemak, RM150 boleh dapat ayam, daging, kerang, bawang putih, bawang besar dengan beras. Beli beras 5kg untuk pakai sehari. Tapi kalau dengan keadaan barang sekarang ini kalau tak ada RM200 lebih itu (untuk sehari) susah juga nak pusing (modal) nak beli barang ini,” kata peniaga yang mahu dikenali sebagai Hartini.
Hartini berkata ketika ini beliau hanya mendapat keuntungan sedikit susulan kenaikan harga barangan dan tidak lagi mampu membuat simpanan kecemasan.
Katanya, keuntungan dari jualan itu hanya dapat menampung perbelanjaan harian dan melangsaikan komitmen lain seperti rumah, kenderaan dan membeli barangan jualan.
“Yang teruk (harga) ini saya tengok selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini yang teruk sangat harga barang, lepas PRU (Pilihan Raya Umum) dia dah naik tapi lepas PRN ini dia mencanak naik tinggi sangat sampai RM1-4 lebih dalam tempoh tiga empat hari pap! Satu kali naik.
“Kalau katakanlah lagi tiga bulan naik lagi 30 sen mungkin rakyat tak terasa sangat tapi ini terasa sangat,” katanya, mendakwa beberapa barangan dapur sukar ditemui di pasaran ketika ini iaitu beras, telur dan gula.
Seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Anna (nama samaran) turut menyuarakan kebimbangan tentang kenaikan harga barangan dan ketiadaan beberapa barangan utama seperti telur, beras tempatan dan minyak paket.
“Saya akan spend dalam (sekarang) RM600 ke RM800 (perbelanjaan barangan dapur), dulu sebulan RM500 insyaallah bolehlah (beli) termasuk beras, ayam tapi sekarang RM500 itu memang tak bolehlah memang kena topup (tambah) juga.
“Saya struggle lah sebab firstly saya kerja sendiri income tak menentu tengok barang pula naik memang struggle untuk hidup mewah macam dulu bukanlah mewah tapi untuk beli barang keperluan yang mencukupi memang kena bajet-bajetlah sekarang ada sesetengah barang saya tak boleh beli dah untuk beli keperluan kehendak memang perlu dikurangkan,” katanya.
Anna berharap pihak berwajib akan dapat memastikan barang keperluan harian mencukupi di semua pasar raya.
Pesara kerajaan dari Setiawangsa, Wan Mahmod tidak menafikan berlaku peningkatan harga barangan daripada kebiasaan di mana perbelanjaan keluarganya untuk barangan dapur dan basah meningkat sebanyak RM100 dalam tempoh dua tahun.
Terkesan dengan situasi itu, beliau yang mempunyai empat ahli keluarga memberitahu terpaksa mengurangkan perbelanjaan barangan lain seperti pembelian pakaian.
“Kalau RM500 Itu barang-barang mentahlah, lauk-pauk, tak termasuk barang lainlah, macam barang kering tapi kalau macam tak cukup beli hari-hari macam itulah. Tapi tidak kira sangatlah dalam sebulan itu berapa (perbelanjaan) tapi kemungkinan dalam RM600 hingga RM700 begitulah untuk barang basah,” katanya. — The Merdeka Times
View this post on Instagram