Connect with us

Terkini

Isu hadis 40: Bantah sebelum faham, barah rosakkan keharmonian negara

Tidak memahami hadis dan kandungannya dengan kaedah betul antara punca berlakunya penentangan terhadap pelaksanaan modul Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.

Hidayah Sani

Published

on

Isu hadis 40: Bantah sebelum faham, barah rosakkan keharmonian negara
Foto: Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr Rozaimi Ramle.
  • Tidak memahami hadis dan kandungannya dengan kaedah betul antara punca berlakunya penentangan terhadap pelaksanaan modul Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.
  • Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Dr Rozaimi Ramle berkata sekiranya kandungan modul itu diteliti, masyarakat pasti menyokong pelaksanaannya kerana ia boleh menjadikan umat Islam sebagai Muslim yang baik.
  • Katanya, umat Islam turut diajar untuk menjadi Muslim berkualiti dan mempunyai sifat ihsan di awal modul hadis itu.
  • “Sebagai contoh, hadis nombor dua dalam Hadis 40 Imam Nawawi menceritakan tentang iman, Islam dan ihsan. Tapi masalah kita ialah kita tidak melihat isi kandungan hadis 40, asal nama Islam kita cuba untuk membantah. Bantah dulu sebelum faham… Ini adalah suatu barah yang akan merosakkan keharmonian negara,” katanya ketika menjadi panelis program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi?’ yang bersiaran secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat lalu.
  • Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya lima hadis dikeluarkan dari modul asal Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.

KUALA LUMPUR — Tidak memahami hadis dan kandungannya dengan kaedah betul antara punca berlakunya penentangan terhadap pelaksanaan modul Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Dr Rozaimi Ramle berkata sekiranya kandungan modul itu diteliti, masyarakat pasti menyokong pelaksanaannya kerana ia boleh menjadikan umat Islam sebagai Muslim yang baik.

Katanya, umat Islam turut diajar untuk menjadi Muslim berkualiti dan mempunyai sifat ihsan di awal modul hadis itu.

“Kalau kita petik satu hadis yang terdapat dalam Hadis 40 Imam Nawawi ini kita akan mendapati tiada masalah pun bagi orang bukan Islam kerana ia hanya menyentuh berkenaan akidah orang Islam.

“Sebagai contoh, hadis nombor dua dalam Hadis 40 Imam Nawawi menceritakan tentang iman, Islam dan ihsan.

“Tapi masalah kita ialah kita tidak melihat isi kandungan hadis 40, asal nama Islam kita cuba untuk membantah. Bantah dulu sebelum faham… Ini adalah suatu barah yang akan merosakkan keharmonian negara,” katanya ketika menjadi panelis program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi?’ yang bersiaran secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat lalu.

Rozaimi juga tidak menafikan wujud kelompok yang membaca hadis tanpa mengikuti disiplin sewajarnya hingga berlaku banyak penyelewengan dan kecelaruan.

“Inilah yang menjadi masalah kepada kita hari ini pertama orang tidak mahu membaca dan meneliti, bantah walaupun dia tak faham apa yang dibantah.

“Yang kedua orang membaca hadis nabi SAW yang berbahasa Arab tapi tidak mengikuti kaedah sebenar tidak mahir di dalam bahasa Arab jadi akhirnya menimbulkan kekeliruan bukan kerana hadis itu bermasalah tapi kefahaman dia yang bermasalah,” kata Rozaimi. 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menafikan dakwaan kononnya lima hadis dikeluarkan dari modul asal Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa KPM mengeluarkan lima hadis itu, sehingga menimbulkan polemik, adalah tidak benar dan belum dimuktamadkan. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending