Terkini
Isu Hadis 40: Hadis kelapan pamerkan ajaran Islam realistik, bukan hasut perpecahan
Hadis kelapan daripada Hadis 40 Imam Nawawi pada hakikatnya mempamerkan agama Islam bersifat realistik yang membenarkan umat Islam mempertahankan diri, agama dan negara daripada diperangi.

- Hadis kelapan daripada Hadis 40 Imam Nawawi pada hakikatnya mempamerkan agama Islam bersifat realistik yang membenarkan umat Islam mempertahankan diri, agama dan negara daripada diperangi.
- Itu kenyataan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr Rozaimi Ramle ketika mengulas isu modul Hadis 40 Imam Nawawi, khususnya hadis kelapan, yang didakwa tidak membawa kepada perpaduan dan menggalakkan peperangan.
- Rozaimi menyamakan konteks hadis itu dengan situasi negara-negara zaman kini yang mempunyai sistem pertahanan tersendiri untuk melindungi dan bukan menghasut perpecahan.
- “Islam suruh memuliakan tetamu. Islam suruh memuliakan jiran. Adakah ini bukan perpaduan? Ini perpaduan. Tetapi bila masuk hadis-hadis peperangan terus kata orang Islam menggalakkan keganasan. Ini tidak betul,” katanya dalam satu hantaran video di Tiktoknya, kelmarin.
- The Merdeka Times pada 4 September lalu melaporkan kenyataan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy yang mendakwa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan lima hadis, termasuk hadis kelapan, daripada modul asal Hadis 40 Imam Nawawi dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Persatuan Hindu Sangam Malaysia (MHS).
- Terdahulu menegaskan modul pengajaran hadis 40 hanya khusus untuk pelajar Islam, KPM setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan mengeluarkan lima hadis daripada modul asal hadis 40 itu.
- Rozaimi membidas dakwaan segelintir kumpulan tertentu yang cuba menuduh Islam kononnya ia menggalakkan keganasan sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku di negara ini.
KUALA LUMPUR – Hadis kelapan daripada Hadis 40 Imam Nawawi pada hakikatnya mempamerkan agama Islam bersifat realistik yang membenarkan umat Islam mempertahankan diri, agama dan negara daripada diperangi.
Itu kenyataan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr Rozaimi Ramle ketika mengulas isu modul Hadis 40 Imam Nawawi, khususnya hadis kelapan, yang didakwa tidak membawa kepada perpaduan dan menggalakkan peperangan.
Rozaimi menyamakan konteks hadis itu dengan situasi negara-negara zaman kini yang mempunyai sistem pertahanan tersendiri untuk melindungi dan bukan menghasut perpecahan.
“Hadis itu menunjukkan Islam ini bersifat realistik nak pertahankan diri, pertahankan agama, pertahankan negara daripada diperangi. Itu adalah suatu yang realistik. Mana ada negara yang ada dalam dunia ini yang tiada sistem pertahanannya. Yang tiada polis, tiada tentera. Sukar kita nak cari. Adakah negara itu menggalakkan perpecahan? Tak. Mempertahankan diri bukan perpecahan tetapi bersedia.
“Islam suruh memuliakan tetamu. Islam suruh memuliakan jiran. Adakah ini bukan perpaduan? Ini perpaduan. Tetapi bila masuk hadis-hadis peperangan terus kata orang Islam menggalakkan keganasan. Ini tidak betul,” katanya dalam satu hantaran video di Tiktoknya, kelmarin.
The Merdeka Times pada 4 September lalu melaporkan kenyataan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy yang mendakwa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan lima hadis, termasuk hadis kelapan, daripada modul asal Hadis 40 Imam Nawawi dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Persatuan Hindu Sangam Malaysia (MHS).
Hadis kelapan dimaksudkan itu adalah hadis perintah Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk memerangi manusia yang belum bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad utusan Allah hinggalah mereka menerima Islam, mendirikan solat dan membayar zakat.
Terdahulu menegaskan modul pengajaran hadis 40 hanya khusus untuk pelajar Islam, KPM setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan mengeluarkan lima hadis daripada modul asal hadis 40 itu.
Mengulas lanjut, Rozaimi membidas dakwaan segelintir kumpulan tertentu yang cuba menuduh Islam kononnya ia menggalakkan keganasan sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku di negara ini.
“Tiba-tiba ada orang bukan Islam (bukan semua) tapi ada sebahagian daripada mereka cuba menangguk di air yang keruh mengatakan dalam hadis 40 ada sumber-sumber keganasan. Kamu dapat daripada mana idea ini?.
“Orang bukan Islam boleh duduk dalam kampung orang Islam aman tanpa diganggu. Bahkan orang bukan Islam boleh kaya duduk dalam negara orang Islam. Tidak berlaku dalam negara ini mana-mana orang bukan Islam berniaga kena boikot kerana agama dia.
“Bertahun orang bukan Islam duduk negara ini, bahkan ratusan tahun mereka duduk di negara ini, mereka tidak pernah dibunuh kerana agama pun,” kata Rozaimi, bertegas supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap golongan anti-Islam itu. –The Merdeka Times
Sumber: Tiktok Dr Rozaimi Ramle
