Connect with us

Terkini

PPSM, PGSM lapor polis saluran Youtube tohmah peguam, hakim syarie

Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) masing-masing membuat laporan polis terhadap satu saluran Youtube yang didakwa melemparkan tohmahan ke atas peguam dan hakim mahkamah syariah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

PPSM, PGSM lapor polis saluran Youtube tohmah peguam, hakim syarie
Foto: Abu Suffian Abu Yaziz (tengah) dan Moiez Basri (kanan) menunjukkan salinan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
  • Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) masing-masing membuat laporan polis terhadap satu saluran Youtube yang didakwa melemparkan tohmahan ke atas peguam dan hakim mahkamah syariah.
  • Presiden PPSM, Abu Suffian Abu Yaziz berkata, pada Ahad pihaknya menerima rakaman klip video berdurasi 10 minit 23 saat terkandung percakapan seorang individu lelaki dalam satu program kendalian sebuah lagi saluran Youtube yang lain.
  • Video percakapan itu berkisar mengenai salah laku tidak bermoral yang didakwa membabitkan peguam dan hakim syarie dalam aktiviti bertukar-tukar pasangan setelah melakukan aktiviti motosikal berkumpulan.
  • “Ia juga memberi naratif tidak baik kepada masyarakat sivil seolah-olah mahu menyedapkan cerita untuk tujuan meraih publisiti murahan dan berbaur fitnah ke atas pegawai syariah termasuk hakim dan peguam syarie,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam.
  • Timbalan Presiden PGSM, Moeiz Basri berkata, tuduhan di dalam kandungan klip video berkenaan adalah amat berat serta tanpa bukti yang kukuh.

PUTRAJAYA: Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) masing-masing membuat laporan polis terhadap satu saluran Youtube yang didakwa melemparkan tohmahan ke atas peguam dan hakim mahkamah syariah.

Presiden PPSM, Abu Suffian Abu Yaziz berkata, pada Ahad pihaknya menerima rakaman klip video berdurasi 10 minit 23 saat terkandung percakapan seorang individu lelaki dalam satu program kendalian sebuah lagi saluran Youtube yang lain.

Menurutnya, video percakapan itu berkisar mengenai salah laku tidak bermoral yang didakwa membabitkan peguam dan hakim syarie dalam aktiviti bertukar-tukar pasangan setelah melakukan aktiviti motosikal berkumpulan.

“PPSM selaku persatuan induk yang menaungi pegawai-pegawai yang berkhidmat di bawah skim perundangan dan kehakiman di seluruh Malaysia memandang serius tohmahan dilemparkan dan menegaskan bahawa dakwaan ini bersifat menghina serta mengaibkan institusi syariah.

“Ia juga memberi naratif tidak baik kepada masyarakat sivil seolah-olah mahu menyedapkan cerita untuk tujuan meraih publisiti murahan dan berbaur fitnah ke atas pegawai syariah termasuk hakim dan peguam syarie,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam.

Mengulas lanjut, Abu Suffian berkata, selain laporan polis, PPSM dan PGSM akan melaporkan mengenai isi kandungan klip video berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam masa terdekat dan menyeru mengambil tindakan tegas dan segera ke atas pemilik akaun itu.

“PPSM menzahirkan kekesalan atas penyataan yang ditimbulkan dalam klip video tersebut. Tohmahan jahat ini menimbulkan ketidaktenteraman awam, menggugat keharmonian serta bertujuan menghakis keyakinan masyarakat awam kepada institusi kehakiman dan perundangan syariah.

“Kami bertekad untuk terus memelihara nama baik dan integriti institusi daripada sebarang anasir jahat yang berniat mencemarkan imej dan identiti para pegawai syariah termasuklah hakim syarie di negara ini,” ujarnya.

Turut senada, Timbalan Presiden PGSM, Moeiz Basri berkata, tuduhan di dalam kandungan klip video berkenaan adalah amat berat serta tanpa bukti yang kukuh.

Beliau berkata, Institusi kehakiman merupakan salah satu tiang kepada sebuah negara, apabila institusi itu dipersoalkan maka ketenteraman awam itu berada dalam satu kedudukan yang berbahaya atau boleh menyebabkan keruntuhan sesebuah negara.

“Namun, jika ada sebarang bukti, kita sendiri boleh ambil tindakan jika memang menjurus kepada perlakuan yang didakwa itu tetapi bukan dengan tuduhan semborono kerana tidak adil kepada profesion kami,” ujarnya. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia

Author