Connect with us

Terkini

Pelajar IPG Kampus Ilmu Khas guna bahasa isyarat iringi bacaan ikrar

Buat julung kalinya, bacaan ikrar dan Rukun Negara pada majlis sambutan Hari Kebangsaan akan turut diiringi bahasa isyarat yang dikendalikan pasukan khas.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pelajar IPG Kampus Ilmu Khas guna bahasa isyarat iringi bacaan ikrar
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Buat julung kalinya, bacaan ikrar dan Rukun Negara majlis sambutan Hari Kebangsaan akan diiringi bahasa isyarat yang dikendalikan pasukan khas.
  • Kelainan itu bakal ditampilkan 36 pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras pada majlis sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini pada 31 Ogos ini yang akan menggunakan bahasa isyarat bagi mengiringi bacaan ikrar dan Rukun Negara lisan. 
  • Tahun ini, bacaan ikrar lisan akan dilakukan 40 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diketuai Muhammad Haikal Roslan, dan kumpulan itu akan berdiri berhadapan dengan pasukan IPG Kampus Ilmu Khas yang akan menyampaikan mesej ikrar dengan bahasa isyarat. 
  • Pensyarah yang juga jurulatih bagi bacaan ikrar pasukan IPG Kampus Ilmu Khas, Saiful Azam Khoo Abdullah berkata pengenalan bahasa isyarat pada upacara besar-besaran seperti sambutan Hari Kebangsaan dapat membuka ruang memperluaskan bahasa berkenaan kepada masyarakat normal.

PUTRAJAYA: Buat julung kalinya, bacaan ikrar dan Rukun Negara pada majlis sambutan Hari Kebangsaan akan turut diiringi bahasa isyarat yang dikendalikan pasukan khas.

Kelainan itu bakal ditampilkan oleh 36 pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras pada majlis sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini pada 31 Ogos ini yang akan menggunakan bahasa isyarat bagi mengiringi bacaan ikrar dan Rukun Negara lisan. 

Tahun ini, bacaan ikrar lisan akan dilakukan oleh 40 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diketuai Muhammad Haikal Roslan, dan kumpulan itu akan berdiri berhadapan dengan pasukan IPG Kampus Ilmu Khas yang akan menyampaikan mesej ikrar dengan bahasa isyarat. 

Pensyarah yang juga jurulatih bagi bacaan ikrar pasukan IPG Kampus Ilmu Khas, Saiful Azam Khoo Abdullah berkata pengenalan bahasa isyarat pada upacara besar-besaran seperti sambutan Hari Kebangsaan dapat membuka ruang memperluaskan bahasa berkenaan kepada masyarakat normal.

“Ia secara tidak langsung membuka minda orang ramai untuk mempelajari bahasa isyarat, pada masa sama memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk mengetahui dan mendalami mesej bacaan ikrar nanti,” katanya kepada Bernama ketika tinjauan persiapan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini hari ini. 

Menurut pensyarah Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) itu, latihan intensif telah dijalankan sejak dua bulan lepas dan pasukannya berazam untuk memberikan yang terbaik pada majlis sambutan Hari Kebangsaan nanti.

Pelajar Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) IPG berkenaan Nur Iman Sorfina Mohd Iza Ney, 21, berkata beliau rasa bertuah apabila dipilih oleh pensyarahnya sebagai ahli pasukan dalam menyampaikan ikrar dalam bahasa isyarat dan berpendapat golongan OKU tidak wajar dipinggirkan.

“Dengan ini, OKU juga dapat merasakan mereka sama seperti orang biasa dan tidak berasa terpinggir sangat,” katanya.

Sementara itu, jurulatih sukan lasak dan penyelia bacaan ikrar UPNM Lt Kol Mustapha Omar (B) berkata ini kali kedua UPNM diberi tanggungjawab bagi pembacaan ikrar Hari Kebangsaan selepas 2016.

Dengan durasi tiga minit 18 saat, pembaca ikrar dari UPNM yang terdiri daripada pelajar Akademi Kecergasan Pertahanan dan pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) itu akan mengenakan pakaian tradisional berbilang kaum.

Muhammad Danial Yusofhariyono yang berasal dari Tawau, Sabah, berkata beliau bangga diberikan penghormatan sebagai salah seorang pembaca ikrar dari UPNM bagi upacara penting negara dan beranggapan peluang itu tidak mungkin dapat dirasai buat kali kedua.

“Kami sedang melakukan latihan sebaik mungkin. Setakat ini koordinasi antara pelajar UPNM dan IPG itu agak baik dan tiada apa-apa masalah sepanjang kami berlatih,” kata pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa, Diplomasi dan Keselamatan itu. 

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Ini merupakan kali kelima sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya. Sebelum ini, Putrajaya menjadi lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.  – BERNAMA

Sumber: Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *