Terkini
Mahkamah terkhilaf benar guna bahasa Cina, Tamil di sekolah vernakular – Peguam
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini didakwa telah terkhilaf dalam memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular adalah sah serta berperlembagaan.
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini didakwa telah terkhilaf dalam memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular adalah sah serta berperlembagaan.
- Mahkamah didakwa terkhilaf daripada segi fakta kerana memutuskan sekolah vernakular atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bukan pihak berkuasa awam (Public Authorities) kerana tidak memenuhi elemen awam.
- Sebaliknya hujah peguam mewakili beberapa perayu, Mohamed Haniff Khatri bahawa Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkhilaf apabila memutuskan penggunaaan kedua-dua bahasa itu dilindungi di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.
- Kata Mohamed Haniff, sekolah vernakular diwajibkan menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium pengantara pengajaran dan pembelajaran.
- Mohamed Haniff berkata, apabila Parlimen sendiri tidak mempunyai kuasa mengecualikan kewajipan berbahasa kebangsaan di bawah Perkara 152(1) maka sudah tentu ia juga tiada kuasa menurunkan perwakilan kepada menteri seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996.
PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini didakwa telah terkhilaf dalam memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular adalah sah serta berperlembagaan.
Mahkamah didakwa terkhilaf daripada segi fakta kerana memutuskan sekolah vernakular atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bukan pihak berkuasa awam (Public Authorities) kerana tidak memenuhi elemen awam.
Sebaliknya hujah peguam mewakili beberapa perayu, Mohamed Haniff Khatri bahawa Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkhilaf apabila memutuskan penggunaaan kedua-dua bahasa itu dilindungi di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Kata Mohamed Haniff, sekolah vernakular diwajibkan menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium pengantara pengajaran dan pembelajaran.
Ketika berhujah, peguam itu juga menggunakan contoh penghakiman dalam kes Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar lawan Kerajaan Malaysia yang mana kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar adalah jelas, penting serta tidak boleh disangkal.
Jelasnya, melalui Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, Parlimen memberikan kuasa kepada menteri untuk menubuhkan SJK Cina dan Tamil dan pihaknya berpendapat Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi kuasa berkenaan.
“Jika kita teliti struktur ayat dan bahasa digunakan dalam Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen hanya diberi kuasa menentukan bentuk tulisan namun tidak diberi kuasa lebih daripada itu lagi-lagi kuasa untuk mengecualikan penggunaan bahasa kebangsaan, ini jelas melanggar peruntukan di bawah Perkara 152,” hujahnya dalam rayuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung keabsahan sekolah vernakular.
Justeru, Mohamed Haniff berkata, apabila Parlimen sendiri tidak mempunyai kuasa mengecualikan kewajipan berbahasa kebangsaan di bawah Perkara 152(1) maka sudah tentu ia juga tiada kuasa menurunkan perwakilan kepada menteri seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996.
Oleh yang demikian, peguam itu memohon Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan beberapa NGO berhubung keabsahan sekolah vernakular, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negara ini.
Untuk makluman, para perayu kes yang terdiri daripada Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Prosiding itu turut melibatkan rayuan kumpulan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 29 Mei 2022.
Pihak-pihak itu memohon mendapatkan deklarasi kewujudan sekolah berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Rayuan semalam didengar di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.
Mahkamah kemudian menetapkan esok bagi pengurusan kes menentukan tarikh pendengaran rayuan akan datang.
Sumber: MalaysiaGazette