Antarabangsa
Mahkamah Israel jatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap warga Palestin
Mahkamah Israel menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang warga Palestin kerana membunuh seorang peneroka Israel pada 2015 di Tebing Barat yang diduduki, kata tentera, semalam.
- Mahkamah Israel menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang warga Palestin kerana membunuh seorang peneroka Israel pada 2015.
- Mahkamah Tentera Israel menjatuhkan hukuman itu ke atas Moath Hamed. Menurut tentera, beliau mengaku melakukannya bagi pihak gerakan Islam Palestin, Hamas.
- Pada 29 Jun 2015, Hamed melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan yang dinaiki Malachi Rosenfeld, yang pulang dari bermain bola keranjang berhampiran Shilo, sebuah penempatan haram di Tebing Barat.
- Tiga lagi warga Israel turut tercedera dalam serangan itu.
BAITULMAQDIS: Mahkamah Israel menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang warga Palestin kerana membunuh seorang peneroka Israel pada 2015 di Tebing Barat yang diduduki, kata tentera, semalam.
Mahkamah Tentera Israel menjatuhkan hukuman itu ke atas Moath Hamed, 39.
Menurut tentera, beliau mengaku melakukannya bagi pihak gerakan Islam Palestin, Hamas.
Pada 29 Jun 2015, Hamed melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan yang dinaiki Malachi Rosenfeld, 25, yang pulang dari bermain bola keranjang berhampiran Shilo, sebuah penempatan haram di Tebing Barat.
Tiga lagi warga Israel turut tercedera dalam serangan itu.
Hamas dianggap organisasi pengganas oleh Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Pada Julai 2015, agensi keselamatan dalaman Israel, Shin Bet, berkata pihaknya telah menahan tujuh rakyat Palestin berhubung serangan itu.
Sementara itu, Kelab Tahanan Palestin berkata, Hamed ditahan oleh tentera Israel pada April tahun lalu selepas tujuh tahun pencarian dilakukan secara berterusan.
Untuk rekod, Tebing Barat diduduki Israel sejak Perang Enam Hari pada 1967.
Kesemua kes yang berlaku di Tebing Barat dibicarakan oleh tribunal tentera Israel.
Hampir tiga juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat. Pada masa sama, kira-kira 490,000 warga Israel menetap di situ, penempatan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Sumber: Berita Harian