Antarabangsa
Lebih 6,000 orang awam Myanmar maut selepas rampasan kuasa
Lebih 6,000 orang awam terbunuh di Myanmar dalam tempoh 20 bulan pertama selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, menurut laporan yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Oslo.
- Lebih 6,000 orang awam terbunuh di Myanmar dalam tempoh 20 bulan pertama selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, menurut laporan diterbitkan Institut Penyelidikan Keamanan Oslo.
- “Data kami menunjukkan jumlah korban konflik lebih tinggi daripada dilaporkan sebelum ini.
- “Jelas menunjukkan junta adalah pembunuh utama, pasukan antijunta juga bertanggungjawab ke atas sebilangan besar korban darah,” Penulis laporan, Stein Tonnesson.
- Laporan berkenaan mengatakan, seramai 6,337 orang awam terbunuh atas sebab politik, manakala 2,614 lagi dilaporkan cedera.
OSLO: Lebih 6,000 orang awam terbunuh di Myanmar dalam tempoh 20 bulan pertama selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, menurut laporan yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Oslo.
“Data kami menunjukkan jumlah korban konflik lebih tinggi daripada dilaporkan sebelum ini.
“Jelas menunjukkan junta adalah pembunuh utama, pasukan antijunta juga bertanggungjawab ke atas sebilangan besar korban darah,” kata Stein Tonnesson dalam satu kenyataan.
Beliau antara seorang daripada dua penulis laporan itu.
Laporan berkenaan mengatakan, seramai 6,337 orang awam terbunuh ‘atas sebab politik’ antara 1 Februari 2021 dan 30 September 2022, manakala 2,614 lagi dilaporkan cedera.
Jumlah korban itu jauh lebih tinggi daripada dilaporkan sebelum ini, termasuk dari organisasi antarabangsa.
Menurut laporan itu, hampir separuh daripada kematian iaitu 3,003 dikaitkan dengan rejim tentera, polis dan militia, manakala 2,152 dikaitkan dengan kumpulan pembangkang bersenjata.
Sementara itu, 12 dikaitkan dengan orang awam lain yang tidak bergabung sama ada dengan rejim atau penentang, manakala 1,170 kepada pelaku yang tidak ditentukan.
“Ini adalah jumlah yang lebih besar daripada yang biasa disebut dalam media, namun ia hanya anggaran. Berdasarkan pembunuhan yang dilaporkan dan dikumpulkan daripada laporan media boleh dipercayai.
“Jumlah sebenar pasti lebih tinggi kerana banyak pembunuhan mungkin tidak dilaporkan,” kata laporan itu.
Mendakwa penipuan besar-besaran, tentera Myanmar membatalkan pilihan raya perundangan yang dimenangi oleh parti pimpinan Aung San Suu Kyi dan menggulingkan kerajaan dipimpinnya.
Sejak itu, junta melakukan penindasan besar-besaran terhadap mana-mana pembangkang, menangkap lebih 23,000 orang, menurut sebuah badan pemerhati tempatan.
Sumber: Berita Harian