Terkini
Kemenangan Erdogan eratkan hubungan bilateral Turkiye-Malaysia
Kemenangan Recep Tayyip Erdogan sebagai Presiden Turkiye untuk lima tahun akan datang membuka peluang untuk Malaysia menjalin hubungan lebih erat bersama negara itu.
- Kemenangan Recep Tayyip Erdogan sebagai Presiden Turkiye membuka peluang untuk menjalin hubungan bilateral lebih erat dengan Malaysia.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan berkenaan dizahirkan menerusi perbualan telefon bersama Erdogan pada hari Selasa lalu.
- “Kami berdua bersetuju untuk mengeratkan hubungan dua hala Malaysia-Turkiye. Kami juga bersedia untuk mengangkat kerjasama dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih baik dan lancar,” katanya.
- PM Anwar turut menzahirkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan Erdogan dalam pilihan raya Presiden Republik Turkiye baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Kemenangan Recep Tayyip Erdogan sebagai Presiden Turkiye untuk lima tahun akan datang membuka peluang untuk Malaysia menjalin hubungan lebih erat bersama negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan berkenaan dizahirkan menerusi perbualan telefon bersama Erdogan pada hari Selasa lalu.
Berkongsi perkembangan itu di Facebook pada hari Rabu lalu, Anwar memberitahu, ia adalah antara yang menjadi intipati perbincangan mereka dalam perbualan tersebut.
“Kami berdua bersetuju untuk mengeratkan hubungan dua hala Malaysia-Turkiye.
“Kami juga bersedia untuk mengangkat kerjasama dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih baik dan lancar,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri juga memberitahu, beliau berkesempatan menjemput Erdogan untuk berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat. Anwar juga mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan Erdogan, malah turut melahirkan rasa kagum atas ketabahan dimiliki pemimpin Turkiye itu.
“Saya menzahirkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan beliau dalam pilihan raya Presiden Republik Turkiye baru-baru ini dan mengagumi ketabahan dan kesabaran beliau dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk memenangi pilihan raya tersebut,” katanya.
Turut dimuat naik menerusi hantaran itu ialah video perbualan beliau bersama Erdogan. Dalam paparan berdurasi empat minit itu, Erdogan dengan dibantu penterjemah menyatakan hasrat untuk mengukuhkan hubungan bilateral yang sedia terjalin bersama Malaysia secara lebih akrab.
Hubungan akrab Perdana Menteri bersama Erdogan bukan satu rahsia, malah tokoh terkemuka Turkiye itu adalah antara pemimpin dunia terawal yang menghubungi Anwar bagi mengucapkan tahniah, sejurus selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Malaysia juga antara negara yang tidak ketinggalan menghantar delegasi bagi menggerakkan misi kemanusiaan di Turkiye, ketika negara tersebut dilanda bencana gempa bumi Februari tahun ini.
Pengerusi Majlis Pilihan Raya Turkiye, Ahmet Yener pada Ahad lalu mengumumkan bahawa Erdogan telah dipilih semula sebagai Presiden dalam pilihan raya penentu yang diadakan. Beliau berjaya mengatasi pencabar, Kemal Kilicdaroglu dengan keputusan tidak rasmi 52.14 peratus, manakala Kilicdaroglu mencatat 47.86 peratus undi.
Erdogan menerusi pengundian pusingan pertama pada 14 Mei lalu berhasil memperoleh kelebihan hampir lima mata ke atas Kilicdaroglu tetapi gagal mencapai 50 peratus undi yang diperlukan untuk menang.
Sumber: Getaran