Terkini
Peniaga tidak tahu isi kandungan cecair vape – Dewan Perniagaan Vape Malaysia
Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) mengakui peniaga sebenarnya tidak mengetahui isi kandungan atau bahan yang digunakan dalam produk rokok elektronik atau vape.
- Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) mengakui peniaga sebenarnya tidak mengetahui isi kandungan atau bahan yang digunakan dalam produk rokok elektronik atau vape.
- Setiausaha Agungnya, Ridhwan Rosli berkata susulan dari itu kawal selia ke atas produk terbabit perlu dilaksanakan berikutan ketika ini tiada sebarang kawal seliaan terhadapnya.
- “…Apa ada dekat dalam, apa bahan digunakan kita tidak tahu. Sedih untuk saya kongsikan kita tidak tahu. Kerana itu sejak daripada sebelum ini sampai sekarang apa yang Dewan Perniagaan cuba usulkan adalah kita perlu ada kawal selia,” katan Ridhwan Rosli.
- Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
KUALA LUMPUR — Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) mengakui peniaga sebenarnya tidak mengetahui isi kandungan atau bahan yang digunakan dalam produk rokok elektronik atau vape.
Justeru Setiausaha Agungnya, Ridhwan Rosli amat mengharapkan kawal selia ke atas produk terbabit perlu dilaksana berikutan ketika ini tiada sebarang pemantauan terhadap penggunaan peranti tersebut.
“Sedih untuk saya kongsikan, tidak ada (kawal seliaan), 83 peratus menyatakan harm reduction (pengurangan kemudaratan) itu satu persepsi.
“…Apa ada dekat dalam, apa bahan digunakan kita tidak tahu. Sedih untuk saya kongsikan kita tidak tahu.
“Kerana itu sejak daripada sebelum ini sampai sekarang apa yang Dewan Perniagaan cuba usulkan adalah kita perlu ada kawal selia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program itu membincangkan topik, ‘Cukup Selamatkah ‘Vape’ Di Malaysia Sebagai Pengganti Rokok?’ di mana ia turut menjemput Pakar Perubatan Keluarga PPUM dan Ahli Nicotine Addiction Research UM, Dr Amirul Amzar di bawah kendalian Finaz Yunus.
Mengulas lanjut, Ridhwan berkata negara perlu mempunyai mekanisme iaitu pengawalan tegas, ketat dan sesuai terkait perkara ini yang bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan Pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG).
Menurutnya, langkah kawalan itu juga akan dapat memastikan industri yang bernilai RM2 bilion kepada kerajaan ini apabila dikategorikan sebagai haram, ia tidak akan menjadi satu industri gelap.
Ridhwan menegaskan jika berlaku penyalahgunaan vape maka ia boleh membawa kesan yang jauh lebih berbahaya daripada rokok yang kita berusaha perangi sejak beberapa tahun lalu lagi. – The Merdeka Times
Sumber: Youtube SinarTV