Connect with us

Terkini

Pegawai intervensi diberi kuasa tahan individu cuba bunuh diri

Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 bagi mewujudkan pegawai intervensi krisis yang diberi kuasa untuk menangkap seseorang yang cuba membunuh diri.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pegawai intervensi diberi kuasa tahan individu cuba bunuh diri
Foto: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.
  • Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 bagi mewujudkan pegawai intervensi krisis diberi kuasa menangkap seseorang cuba membunuh diri.
  • RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • Pindaan ke atas Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) itu susulan kepada kelulusan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 oleh Dewan Rakyat hari ahad, bertujuan memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri, selain satu lagi RUU berkaitan iaitu RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023.
  • Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata kerajaan perlu bersedia dari segi penguatkuasaan berkesan dan pengurusan individu didapati ingin melakukan tindakan bunuh diri.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 bagi mewujudkan pegawai intervensi krisis yang diberi kuasa untuk menangkap seseorang yang cuba membunuh diri.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Pindaan ke atas Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) itu susulan kepada kelulusan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 oleh Dewan Rakyat semalam, yang bertujuan memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri, selain satu lagi RUU berkaitan iaitu RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata kerajaan perlu bersedia dari segi penguatkuasaan berkesan dan pengurusan individu yang didapati ingin melakukan tindakan bunuh diri.

“Terdapat keperluan bagi mewujudkan pegawai intervensi krisis di bawah Akta 615, yang menjadi ‘first responder’ (pihak paling awal bertindak balas) dalam menangani kes berkenaan.

“Rasional pewujudan pegawai ini adalah bagi memastikan tindakan kepada kes percubaan bunuh diri dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan, selain melindungi nyawa seseorang yang cuba membunuh diri dan menjamin keselamatan masyarakat umum,” katanya.

Ramkarpal berkata, melalui Fasal 2 RUU berkenaan, kuasa diberikan kepada mana-mana pegawai intervensi krisis untuk menangkap mana-mana individu yang dipercayai bercelaru mental, yang berbahaya kepada dirinya atau kepada orang lain atau harta, atau mana-mana orang yang cuba membunuh diri.

Beliau menegaskan, istilah menangkap di bawah RUU berkenaan tidak bermaksud penangkapan atau ‘arrest’ seperti mana berlaku dalam kes jenayah.

Sebaliknya, bagi maksud penangkapan, katanya, pegawai itu diberi kuasa untuk memasuki mana-mana premis pada bila-bila masa yang perlu dan boleh memecah buka mana-mana pintu atau tingkap luar serta masuk ke dalam atau masuk secara paksa ke dalam premis.

“Selanjutnya, pegawai intervensi krisis itu hendaklah membawa orang yang ditangkap itu ke hospital psikiatri kerajaan atau hospital psikiatri swasta yang diwartakan tidak lewat daripada 24 jam selepas penangkapan itu untuk pemeriksaan,” katanya.

Ramkarpal memaklumkan, pegawai intervensi krisis yang diwujudkan di bawah Seksyen 11 Akta 615 terdiri daripada gabungan beberapa jabatan dan agensi penguat kuasa, iaitu pegawai polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, bomba, bomba bantuan dan sukarela serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Keanggotaan pegawai intervensi krisis ini adalah satu bentuk tanggungjawab bersama, merentasi pelbagai jabatan dan agensi, yang menjadi manifestasi suatu bentuk persefahaman yang menyeluruh bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan oleh agensi penguat kuasa kerajaan,” katanya.

Pada sesi penggulungan RUU berkenaan, Ramkarpal berkata, empat institusi mental menyediakan perkhidmatan penilaian kesihatan mental terhadap orang yang ditangkap kerana cuba membunuh diri bagi tujuan pengesahan laporan perubatan.

“Individu yang memerlukan pemeriksaan itu akan diletakkan di bawah perhatian pakar psikiatri yang bertauliah. Orang yang dituduh perlu menjalani pemeriksaan ini di bawah arahan mahkamah.

“Laporan pakar akan disediakan dalam tempoh sebulan selepas pemerhatian melalui kamera litar tertutup (CCTV) bagi menilai tingkah laku tertuduh sebelum pakar bertugas membuat laporan kepada mahkamah. Ini juga diperuntukkan di bawah Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author