Antarabangsa
Kritik lelaki transgender susukan bayi, wanita didakwa langgar undang-undang Australia
Gara-gara membuat ciapan mengenai lelaki transgender menyusukan bayi, dua wanita Australia menerima notifikasi dari Twitter memaklumkan yang mereka melanggar undang-undang negara itu.
- Jasmine Sussex dan Standing For Women Queensland (SFWQ) kedua-duanya dihubungi Twitter pada 16 Mei lalu memaklumkan yang mereka melanggar undang-undang negara itu.
- Mereka membuat ciapan mengenai seorang lelaki transgender, Jennifer Buckley, yang mengisytiharkan menjalani cetusan susu badan (induced lactation) dan menyusukan anak kandungnya sendiri
- “Saya terkejut kerana ia didakwa melanggar undang-undang Australia untuk mengkritik apa yang saya dan kebanyakan rakyat Australia anggap sebagai eksperimen yang kejam dan berbahaya dari segi perubatan ke atas bayi yang baru lahir”. – Jasmine Sussex.
Gara-gara membuat ciapan mengenai lelaki transgender menyusukan bayi, dua wanita Australia menerima notifikasi dari Twitter memaklumkan yang mereka melanggar undang-undang negara itu.
Memetik laporan Reduxx, Jasmine Sussex dan Standing For Women Queensland (SFWQ) kedua-duanya dihubungi Twitter pada 16 Mei lalu.
Kedua-duanya menerima dua e-mel dari Twitter, e-mel pertama menjelaskan yang platform itu menerima “surat rasmi” daripada “entiti kerajaan atau agensi penguatkuasaan undang-undang” mendakwa kandungan mereka melanggar undang-undang Australia.
E-mel kedua dihantar tidak lama selepas itu menasihati mereka yang kandungan itu akan disekat.
Satu ciapan Jasmine disekat, manakala SFWQ mempunyai lima ciapan yang disekat.
Kesemua ciapan itu merujuk kepada seorang lelaki transgender yang mengisytiharkan menjalani cetusan susu badan (induced lactation) dan menyusukan anak kandungnya sendiri.
“Saya terkejut kerana ia didakwa melanggar undang-undang Australia untuk mengkritik apa yang saya dan kebanyakan rakyat Australia anggap sebagai eksperimen kejam dan berbahaya dari segi perubatan ke atas bayi yang baru lahir,” kata Jasmine.
Jasmine ialah pejuang veteran untuk ibu menyusu yang dipecat sebagai sukarelawan kaunselor penyusuan pada 2021 selepas menolak penggunaan bahasa “neutral jantina” dalam penjagaan penyusuan.
Pada tahun berikutnya, Jasmine dikeluarkan daripada Persatuan Penyusuan Susu Ibu Australia (ABA) selepas 18 tahun keahlian.
Ketika masih menjadi ahli ABA, Jasmine menemui lelaki transgender, Jennifer Buckley yang mula menyertai perbincangan keibuan di laman Facebook ABA.
Jennifer pertama kali melakukan laktasi pada 2019 dalam usaha untuk menyusukan anak kandungnya selepas isterinya melahirkan anak.
Dia yang juga seorang paramedik berusia 41 tahun itu berkata ingin “mengalami bagaimana rasanya menjadi seorang ibu dan menyusukan anak.”
Jasmine yang terganggu dengan perkara itu, mula menyuarakan kebimbangannya kepada ABA.
Bagaimanapun, ABA telah menyekatnya dari laman Facebook itu dan memecatnya daripada perkhidmatannya di Talian Bantuan Penyusuan.
Sumber: Reduxx