Antarabangsa
Kematian akibat Covid-19 turun 95 peratus tahun ini – WHO
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam berkata, kematian disebabkan COVID-19 menurun sebanyak 95 peratus sejak awal tahun, namun memberi amaran virus itu masih ada.
- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam berkata, kematian disebabkan COVID-19 menurun sebanyak 95 peratus sejak awal tahun, namun memberi amaran virus itu masih ada.
- WHO berkata, COVID-19 akan kekal bersama manusia dan setiap negara perlu belajar cara menguruskan kesan bukan kecemasan yang berterusan, termasuk keadaan pasca COVID-19, atau gejala ‘Long COVID’.
- “Kami sangat gembira dengan penurunan berterusan kes kematian yang dilaporkan akibat COVID-19, ia menurun 95 peratus sejak awal tahun ini.
- “Bagaimanapun, beberapa negara mengalami peningkatan kes dan sejak empat minggu lalu, dengan 14,000 orang maut akibat wabak ini,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom pada sidang akhbar.
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam berkata, kematian disebabkan COVID-19 menurun sebanyak 95 peratus sejak awal tahun, namun memberi amaran virus itu masih ada.
WHO berkata, COVID-19 akan kekal bersama manusia dan setiap negara perlu belajar cara menguruskan kesan bukan kecemasan yang berterusan, termasuk keadaan pasca COVID-19, atau gejala ‘Long COVID’.
“Kami sangat gembira dengan penurunan berterusan kes kematian yang dilaporkan akibat COVID-19, ia menurun 95 peratus sejak awal tahun ini.
“Bagaimanapun, beberapa negara mengalami peningkatan kes dan sejak empat minggu lalu, dengan 14,000 orang maut akibat wabak ini.
“Malah kemunculan varian baharu XBB.1.16 menyebabkan virus itu masih berubah dan bermutasi serta masih mampu menyebabkan gelombang penyakit atau kematian,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom, pada sidang akhbar.
Ketua Teknikal WHO mengenai COVID-19, Maria Van Kerkhove, berkata sub varian XBB yang kini dominan di seluruh dunia.
Varian baharu ini turut menunjukkan seseorang individu berupaya dijangkiti semula walaupun sudah divaksinasi atau pernah positif COVID-19 sebelum ini.
Beliau turut menggesa langkah pengawasan melalui ujian saringan ditingkatkan supaya dapat memantau virus itu sendiri dan memahami maksud bagi setiap mutasi.
Katanya, pengetahuan yang ada boleh dijadikan maklumat bagi komposisi vaksin dan keputusan berhubung kaedah mengendalikan virus itu.
Tedros mengulangi harapannya supaya WHO berupaya mengisytiharkan penamatan COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan tahap antarabangsa.
Katanya, jawatankuasa yang menasihatinya mengenai status berkenaan akan bersidang pada bulan depan untuk mesyuarat suku tahunan tetapnya.
“Bagaimanapun, virus ini tetap ada dan semua negara perlu belajar untuk menguruskannya bersama penyakit berjangkit lain,” katanya.
Dalam pada itu, Tedros berkata dianggarkan satu daripada 10 jangkitan mengakibatkan Long COVID, sekali gus menunjukkan ratusan juta orang memerlukan penjagaan bagi jangka masa panjang.
Beliau turut menjelaskan bagaimana pandemik COVID-19 mengganggu program vaksinasi dengan dianggarkan 67 juta orang kanak-kanak terlepas sekurang-kurangnya satu dos suntikan antara 2019 dan 2021.
Susulan sedekad terbantutnya kemajuan, Tedros berkata kadar vaksinasi kembali kepada keadaan ketika 2008, menyebabkan peningkatan wabak campak, difteria, polio dan demam kuning.
Tambah beliau, semua negara mesti menangani ‘halangan kepada imunisasi, sama ada akses, ketersediaan, kos atau maklumat palsu’. – AFP
Sumber: Berita Harian