Terkini
SIS Forum gagal cabar fatwa isytihar sesat, menyeleweng dari ajaran sebenar Islam
Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi menolak rayuan-rayuan Sisters In Islam Forum (Malaysia) (SIS Forum) untuk membatalkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam.

- Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi menolak rayuan-rayuan Sisters In Islam Forum (Malaysia) (SIS Forum) untuk membatalkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam.
- Keputusan 2-1 itu dibacakan pada prosiding diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Has Zanah Mehat dan dijalankan secara dalam talian.
- Panel terbabit benarkan permohonan peguam, Datuk Malik Imtiaz untuk tangguhkan sementara perlaksanaan fatwa tersebut sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.
- Terdahulu ketika membaca penghakiman majoriti, Hakim Che Mohd. Ruzima menyatakan, rayuan SIS Forum tidak mempunyai sebarang merit.
- Keputusan majoriti juga mendapati tiada sebarang kekhilafan dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan Mahkamah Rayuan campur tangan.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi menolak rayuan-rayuan Sisters In Islam Forum (Malaysia) (SIS Forum) untuk membatalkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam.
Keputusan 2-1 itu dibacakan pada prosiding yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Has Zanah Mehat dan dijalankan secara dalam talian.
Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk M Gunalan. Hakim Gunalan menentang terhadap keputusan majoriti tersebut.
Bagaimanapun, panel terbabit membenarkan permohonan peguam, Datuk Malik Imtiaz untuk menangguhkan sementara perlaksanaan fatwa tersebut sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.
Turut serta dalam prosiding terbabit ialah peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor; Yusfarizal Yussoff bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib @ Hamid mewakili kerajaan negeri Selangor.
Terdahulu ketika membaca penghakiman majoriti, Hakim Che Mohd. Ruzima menyatakan, rayuan SIS Forum tidak mempunyai sebarang merit.
Selain itu, keputusan majoriti itu juga mendapati tiada sebarang kekhilafan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan Mahkamah Rayuan campur tangan.
Pada 27 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-Undang Syariah.
Selain itu, Hakim itu juga menyatakan isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-Undang Syariah dan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.
Sementara itu, ketika membaca penghakiman menentangnya, Hakim Gunalan menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila gagal memberikan pertimbangan kehakiman (judicially appreciate) bahawa responden pertama (Jawatankuasa Fatwa) telah bertindak melangkaui bidang kuasanya.
Panel terbabit tidak membuat arahan mengenai kos.
Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum, pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan Kerajaan Selangor sebagai responden.
Mereka memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang membuat arahan melalui fatwa itu dengan mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi supaya menyekat laman sesawang sosial yang melanggar ajaran Islam sebagai bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai ‘company limited by guarantee’ tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.
Sumber: Utusan Malaysia
Antarabangsa
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

- Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
- Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
- Keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
- Panel Dewan mendengar pengalaman diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang berkongsi dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa sepanjang berada di dalam kem tersebut.
WASHINGTON: Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
Ahli Kongres, Mike Gallagher yang juga Pengerusi Republikan Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan mengenai Parti Komunis China (PKC), memberitahu pemberita sebelum perbicaraan, keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
China bersungguh-sungguh menafikan penderaan di Xinjiang dan berkata, ia menubuhkan ‘pusat latihan vokasional’ untuk membendung keganasan, pemisahan dan radikalisme agama.
Perbicaraan itu adalah yang terbaru dalam siri acara yang dirancang untuk dua tahun akan datang, manakala Republikan yang mengawal Dewan Perwakilan untuk meyakinkan rakyat Amerika, bahawa mereka perlu mengambil berat untuk menyaingi China dan untuk ‘memisahkan secara terpilih’ ekonomi negara.
Panel Dewan mendengar pengalaman yang diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang bercakap melalui penterjemah, apa yang dikatakannya selama bertahun-tahun di kem di mana dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa.
Etnik Uzbekistan, Qelbinur Sidik yang ditugaskan sebagai guru di kem sedemikian melalui penterjemah, turut menggambarkan keadaan seperti penjara yang menurutnya tahanan menghadapi penyeksaan dan soal siasat.
Kedua-dua wanita itu berjaya melakukan perjalanan ke Eropah dan kini mereka menetap di sana.
Keterangan juga didengar daripada peguam terkemuka Amerika Uyghur, Nury Turkel dan penyelidik Jerman, Adrian Zenz, yang berusaha mendokumentasikan tahap kem tahanan di Xinjiang dan Naomi Kikoler dari Muzium Memorial Holocaust AS.
Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata saksi yang dirancang jawatankuasa itu telah ‘mencipta pembohongan berkaitan Xinjiang’ berdasarkan motif politik tersembunyi.
“Kami berharap rakyat Amerika dapat mengenali wajah sebenar pasukan anti-China ini dan tidak terpedaya dengan khabar angin dan pembohongan,” kata Liu sambil menambah, hak asasi manusia semua kumpulan etnik di Xinjiang sudah ‘dilindungi sepenuhnya’.
Kerajaan AS dan parlimen di Britain, Kanada dan negara lain menyifatkan pencegahan kelahiran dan dasar penahanan besar-besaran China di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menyatakan China mungkin sudah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di rantau itu.
Jawatankuasa dwipartisan tidak akan menulis undang-undang tetapi akan membuat cadangan dasar, pada garis masa keras terhadap China adalah salah satu daripada beberapa dasar dengan sokongan dwipartisan dalam Kongres AS yang sangat berpecah belah.
Kikoler dari muzium holocaust berkata, kerajaan China menggunakan taktik halus untuk ‘memusnahkan orang Uyghur dengan sengaja’ termasuk pengawasan dan penahanan besar-besaran, penyeksaan, pemindahan kanak-kanak dan mengehadkan kelahiran.
Zenz berkata, walaupun kerajaan China mengatakan pihaknya menutup kem di Xinjiang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia adalah pusat ‘pendidikan semula’ keselamatan rendah, selain ada perluasan serentak penjara dengan keselamatan lebih tinggi atau kemudahan buruh paksa.
“Kita boleh mengandaikan ratusan ribu sudah dipindahkan ke kemudahan ini, yang telah diperluaskan secara dramatik,” katanya sambil menyatakan terdapat tanda-tanda tahanan beramai-ramai memuncak pada 2018. – REUTERS
Sumber: Berita Harian
-
Antarabangsa2 days ago
10 hakim berdepan hukuman mati di Arab Saudi
-
Terkini2 days ago
Larangan ke gereja adalah manifestasi disiplin Islam
-
Antarabangsa2 days ago
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
-
Antarabangsa2 days ago
Peguam nafi Zakir Naik diusir dari Oman