Antarabangsa
(VIDEO) Pemimpin parti pemerintah India kecam seruan azan di masjid, katakan “Allah itu pekak”
Pemimpin kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India, sekali lagi mengeluarkan kenyataan mengecam amalan keagamaan umat Islam.
- Pemimpin kanan parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP), KS Eshwarappa mengaku panggilan azan menyebabkan “sakit kepala”.
- Dia turut mempersoalkan sama ada Allah hanya mendengar doa mereka jika pembesar suara digunakan semasa azan.
- Jika azan perlu dilaungkan menggunakan pembesar suara, bermaksud “Allah itu pekak”, kata KS Eshwarappa.
- Mahkamah Agung melarang penggunaan pembesar suara di tempat-tempat awam di antara 10 malam hingga 6 pagi atas sebab memberi kesan kesihatan kepada penduduk akibat pencemaran bunyi.
Pemimpin kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India, sekali lagi mengeluarkan kenyataan mengecam amalan keagamaan umat Islam.
Baru-baru ini, pemimpin kanan BJP dan bekas menteri, KS Eshwarappa mengeluarkan kenyataan kontroversi berkenaan azan – panggilan untuk solat bagi orang Islam – dalam satu perhimpunan awam.
Ia bermula apabila ucapan Eshwarappa ‘diganggu’ oleh azan yang berkumandang dari masjid berdekatan tempat perhimpunan itu diadakan.
Ahli politik berumur 74 tahun itu, yang kelihatan terganggu oleh bunyi tersebut, mengaku panggilan azan yang didengarinya ke mana sahaja dia pergi menyebabkan “sakit kepala”.
Keputusan Mahkamah Agung India (dalam isu azan) adalah wajar, katanya, dan jika tidak pada hari ini, laungan azan akan dilarang suatu masa nanti.
View this post on Instagram
Pemimpin kanan BJP itu juga berkata pengikutnya yang menganut agama sama, melakukan amalan keagamaan tanpa perlu menggunakan pembesar suara dan mempersoalkan sama ada Allah hanya mendengar doa mereka jika pembesar suara digunakan semasa azan.
Dia turut mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti orang Islam di mana dia berkata jika azan perlu dilaungkan menggunakan pembesar suara, bermaksud “Allah itu pekak.”
KS Eshwarappa yang merupakan Timbalan Ketua Menteri, merupakan seorang ahli politik yang tidak lekang daripada kontroversi. Tahun lalu, pemimpin kanan BJP itu dipaksa meletakkan jawatan selepas seorang kontraktor membunuh diri dan menuduh ahli politik itu bertanggungjawab atas kematiannya.
Laungan azan sudah menjadi satu isu yang didebatkan sejak sekian lama di mana penggunaan pembesar suara dikatakan mengganggu penganut agama lain.
Pada Julai 2005, satu Perintah Mahkamah Agung melarang penggunaan pembesar suara di tempat-tempat awam di antara 10 malam hingga 6 pagi, kecuali dalam situasi kecemasan, atas sebab memberi kesan kesihatan kepada penduduk akibat pencemaran bunyi.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Karnataka menolak tuntutan litigasi kepentingan awam untuk mengeluarkan sebarang arahan kepada berkenaan laungan azan.
Mahkamah memutuskan bahawa toleransi dalam agama merupakan ciri perlembagaan dan berpendapat pandangan bahawa azan melanggar hak asasi penganut agama lain adalah tidak boleh diterima.
Sumber: The Islamic Foundation