Terkini
Mahkamah perintah NGO Hindu bayar kos RM10,000 kepada saya – Zamri Vinoth
Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa rayuan Pertubuhan Hindu Dharma Malaysia dan Majlis Belia Hindu Malaysia ditolak dengan kos sebanyak RM10,000 yang perlu dibayar kepada penceramah mualaf, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

- Rayuan perayu-perayu itu ditolak dengan kos sebanyak RM10,000 yang perlu dibayar kepada Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu hari ini.
- NGO Hindu itu pernah diperintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar kos RM10,000 yang memfailkan saman terhadapnya.
- “Mereka tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan telah membuat rayuan di mahkamah rayuan Malaysia,” – Zamri Vinoth.
- Perayu-perayu itu juga diperintahkan membayar kos RM10,000 kepada Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia.
- “Terima kasih juga kepada unit undang-undang MRM yang membiayai kos guaman sepanjang perbicaraan kes ini,” katanya.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa rayuan Pertubuhan Hindu Dharma Malaysia dan Majlis Belia Hindu Malaysia ditolak dengan kos sebanyak RM10,000 yang perlu dibayar kepada penceramah mualaf, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.
Muhammad Zamri berkata kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hindu sebelum ini juga diperintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar kos RM10,000 yang memfailkan saman terhadapnya.
“Mereka tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan telah membuat rayuan di mahkamah rayuan Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
Selain itu, katanya, perayu-perayu tersebut juga diperintahkan membayar kos RM10,000 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia.
“Alhamdulillah, Allahuakbar! Sekali lagi kemenangan berpihak kepada kebenaran.
“Terima kasih juga kepada unit undang-undang MRM yang membiayai kos guaman sepanjang perbicaraan kes ini,” katanya.
Pada 28 April tahun lalu, kedua-dua NGO berkenaan memfailkan saman terhadap Muhammad Zamri, PDRM, KDN dan Kerajaan Malaysia.
Kumpulan-kumpulan itu mendakwa pihak berkuasa gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keamanan, apabila enggan mengambil tindakan terhadap Muhammad Zamri.
Dia dituduh berkongsi sembilan video di akaun media sosialnya yang menyentuh sensitiviti penganut Hindu di Malaysia.
Pertubuhan-pertubuhan itu turut mendesak Muhammad Zamri agar memohon maaf kepada penganut Hindu di negara ini dan membayar ganti rugi RM1 juta kepada mereka. – The Merdeka Times
