Connect with us

Terkini

Kadar inflasi yang menurun, bukan harga – Pakar ekonomi

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali mengingatkan pihak berwajib supaya berhati-hati dalam mentakrif penurunan kadar inflasi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Kadar inflasi yang menurun, bukan harga – Pakar ekonomi
Foto: Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
  • Pakar ekonomi, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali mengingatkan pihak berwajib supaya berhati-hati dalam mentakrif penurunan kadar inflasi kerana yang menurun adalah kadar kenaikan harga, bukan harga.
  • Beliau berkata mengulas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mengatakan inflasi Februari 2023 kekal pada kadar 3.7 peratus, mereda dari 4.7 peratus pada Ogos 2022.
  • Menteri Ekonomi pula mengunjurkan inflasi 2023 berkemungkinan menurun kepada 3.1 peratus di mana bagi sebuah negara, keredaan tekanan dan kestabilan inflasi adalah sesuatu yang penting untuk pertumbuhan ekonomi mampan.
  • “Hati-hati dalam mentakrif penurunan kadar inflasi. Yang menurun adalah kadar kenaikan harga, bukan harga. Dari 552 harga dipantau DOSM, hanya 66 harga mencatat penurunan harga. 
  • “Sebahagian besar, 452 harga meningkat. Dari 12 komposisi harga Indeks Harga Pengguna (IHP) semua mencatat peningkatan, kecuali telekomunikasi. Terima hakikat, umumnya harga sentiasa meningkat.
  • Apa implikasi ke atas kos sara hidup rakyat? Pemberat paling utama dalam IHP ialah makanan (29.5 peratus),” katanya di Facebook hari ini.

KUALA LUMPUR Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali mengingatkan pihak berwajib supaya berhati-hati dalam mentakrif penurunan kadar inflasi.

Pakar ekonomi itu berkata, ini kerana yang menurun adalah kadar kenaikan harga, bukannya harga.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mengatakan inflasi Februari 2023 kekal pada kadar 3.7 peratus, mereda dari 4.7 peratus pada Ogos 2022.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula mengunjurkan inflasi 2023 berkemungkinan menurun kepada 3.1 peratus.

Rafizi Ramli dilapor mengatakan kadar inflasi semasa semakin menunjukkan penurunan dan jika ia berterusan turun sebanyak 0.1 peratus setiap dua bulan, maka Malaysia mampu capai kadar inflasi lebih rendah berbanding unjuran 3.3 peratus.

Noor Azlan berkata, bagi sebuah negara, keredaan tekanan dan kestabilan inflasi adalah sesuatu yang penting untuk pertumbuhan ekonomi mampan.

“Hati-hati dalam mentakrif penurunan kadar inflasi. Yang menurun adalah kadar kenaikan harga, bukan harga. Dari 552 harga dipantau DOSM, hanya 66 harga mencatat penurunan harga. 

“Sebahagian besar, 452 harga meningkat. Dari 12 komposisi harga Indeks Harga Pengguna (IHP) semua mencatat peningkatan, kecuali telekomunikasi. Terima hakikat, umumnya harga sentiasa meningkat.

Apa implikasi ke atas kos sara hidup rakyat? Pemberat paling utama dalam IHP ialah makanan (29.5 peratus),” katanya di Facebook hari ini.

Pada Februari, kadar kenaikan harga makanan dan minuman bukan beralkohol meningkat lebih tinggi dari bulan sebelumnya iaitu 7 peratus (Januari: 6.7 peratus), sementara komponen restoran dan hotel meningkat dengan ketara kepada 7.4 peratus (Januari: 6.8 peratus).

Lebih khusus kadar kenaikan harga makan di luar kekal tinggi, 8.9 peratus.

Katanya, menangani kos sara hidup memerlukan tindakan lebih berkesan serta sebaiknya harga mestilah adil kepada penjual dan pembeli. 

Tindakan menurunkan harga mesti disandarkan kepada inisiatif di titik awal rantaian bekalan bukan titik akhir rantaian, jualan kepada pengguna.

“Malaysia mesti bersedia. ‘Murah’ bukan ciri sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Gaya dan budaya hidup mesti berubah sekiranya status negara maju dan berpendapatan tinggi yang kita sasarkan. Kita sanggup? Bersedia?” soalnya.

“Kuasa beli yang tinggi mesti menjadi sasaran utama. Harga umumnya akan sentiasa meningkat. Tindakan lebih penting, lebih berkesan dan mampan ialah meningkatkan tahap pendapatan bukan menjadikan harga barangan dan perkhidmatan murah.

“Adakah rakyat Malaysia berupaya mencapai pendapatan yang membolehkan mereka mencapai tahap hidup yang selesa bersesuaian dengan lokasi dan tanggungan mereka? Anda tahu tahap ‘pendapatan selesa’ yang anda perlu capai? Berapa peratuskah rakyat Malaysia yang berada di bawah pendapatan selesa?,” katanya

B40, M40, dan T20 adalah ukuran pendapatan secara relatif, akan ada sampai bila-bila di semua negara, kaya atau miskin. 

Kumpulan itu tidak seharusnya menjadi indikator sasaran sebaliknya sasaran mesti betul iaitu berubah kepada mensasarkan pendapatan selesa. — The Merdeka Times

Sumber: Facebook Noor Azlan Ghazali

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *