Antarabangsa
China antara 7 negara hak asasi manusia semakin terhakis – Setiausaha Negara AS
Satu laporan tahunan mengenai hak-hak asasi manusia yang dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) mendapati hak tersebut semakin terhakis di Iran, Afghanistan, Myanmar, China, Cuba, Nicaragua dan Ethiopia, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
- Satu laporan tahunan mengenai hak-hak asasi manusia dikeluarkan AS mendapati hak tersebut semakin terhakis di Iran, Afghanistan, Myanmar, China, Cuba, Nicaragua dan Ethiopia.
- Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, kajian itu dilakukan bertujuan untuk memelihara dan mempertahankan maruah manusia apabila terancam dalam pelbagai cara selain menyebut maklumat itu penting untuk diplomasi AS.
- “Hak-hak asasi manusia adalah universal. Ia tidak ditakrifkan oleh mana-mana negara, falsafah atau wilayah. Ia terpakai kepada semua orang di mana-mana sahaja.”
- “Laporan ini menyatakan dengan jelas bahawa pada tahun 2022 di setiap rantau, kami terus melihat keadaan hak-hak asasi manusia yang mundur, penutupan ruang sivik serta tidak menghormati maruah asasi manusia,” katanya.
WASHINGTON – Satu laporan tahunan mengenai hak-hak asasi manusia yang dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) mendapati hak tersebut semakin terhakis di Iran, Afghanistan, Myanmar, China, Cuba, Nicaragua dan Ethiopia, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ketika mengumumkan laporan edisi ke-47 itu pada Isnin lalu berkata, kajian berkenaan dilakukan bertujuan untuk memelihara dan mempertahankan maruah manusia apabila ia terancam dalam pelbagai cara selain menyebut maklumat itu penting untuk diplomasi AS.
“Hak-hak asasi manusia adalah universal. Ia tidak ditakrifkan oleh mana-mana negara, falsafah atau wilayah. Ia terpakai kepada semua orang di mana-mana sahaja.
“Laporan ini menyatakan dengan jelas bahawa pada tahun 2022 di setiap rantau, kami terus melihat keadaan hak-hak asasi manusia yang mundur, penutupan ruang sivik serta tidak menghormati maruah asasi manusia,” kata Blinken.
Menurut beliau, laporan itu turut memperincikan penderaan mengerikan dan berterusan yang dilakukan oleh rejim di Iran terhadap rakyatnya sendiri.
“Ekoran kematian tragis Mahsa Amini, pihak berkuasa telah membunuh ratusan penunjuk perasaan secara aman termasuk berpuluh-puluh kanak-kanak dan telah menahan beribu-ribu orang lagi dengan sewenang-wenangnya,” tambahnya.
Mahsa, 22, meninggal dunia di hospital pada September tahun lalu selepas koma, beberapa jam setelah polis moral negara itu menahannya kerana tidak memakai tudung dengan sempurna.
Insiden itu mencetuskan protes di ibu negara dan di barat Iran sehingga menyebabkan kematian apabila berlakunya pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis.
Dalam pada itu, Blinken juga menyatakan terdapat kemerosotan hak-hak asasi manusia yang berterusan di China.
“China meneruskan kekejamannya termasuk pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan terhadap etnik Uighur, penindasan ke atas penduduk Tibet, tindakan keras terhadap hak-hak asasi di Hong Kong dan menyasarkan individu di tanah besar yang didapati mengamalkan kebebasan asasi,” ujarnya.
Blinken selain itu merujuk kepada pencabulan hak asasi manusia yang berterusan di Afghanistan di mana kumpulan Taliban menindas hak-hak wanita dan kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan.
Beliau turut menyentuh mengenai konflik Myanmar di mana beribu-ribu aktivis dan orang awam telah dibunuh oleh rejim tentera. Blinken dalam masa sama turut mengecam Cuba dan Nicaragua, yang mana kerajaan autoritarian dua negara itu terus menahan tahanan-tahanan politik serta memasukkan mereka dalam keadaan penjara yang mengerikan.
Sementara itu, walaupun tahap hak asasi manusia diturunkan pada tahun lalu di Ethiopia, Blinken berkata, Perjanjian Penghentian Permusuhan telah membantu memperbaharui bantuan kemanusiaan, memulihkan keadilan dan menghentikan pertempuran di negara berkenaan.
“Konflik di utara Ethiopia adalah dahsyat. Lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibunuh. Wanita dan kanak-kanak perempuan terdedah kepada bentuk keganasan seksual yang mengerikan.
“Selain itu, beribu-ribu orang telah dipindahkan secara paksa dari rumah mereka. Seluruh komuniti disasarkan secara khusus berdasarkan etnik mereka,” katanya.
Sumber: Kosmo