Antarabangsa
953 bangunan Palestin diroboh rejim Israel sepanjang 2022
Sebanyak 953 bangunan milik Palestin di Tebing Barat yang diduduki dirobohkan pihak berkuasa Israel sepanjang tahun lalu, menurut Kesatuan Eropah (EU).
- Sebanyak 953 bangunan milik Palestin di Tebing Barat dirobohkan pihak berkuasa Israel sepanjang tahun lalu, menurut Kesatuan Eropah (EU).
- “Pada 2022, sejumlah 953 bangunan telah dirobohkan atau dirampas di seluruh Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis,” – Pejabat Perwakilan EU.
- Jumlah itu adalah bilangan tertinggi yang direkodkan sejak 2016.
TEBING BARAT – Sebanyak 953 bangunan milik Palestin di Tebing Barat yang diduduki dirobohkan pihak berkuasa Israel sepanjang tahun lalu, menurut Kesatuan Eropah (EU).
“Pada 2022, sejumlah 953 bangunan telah dirobohkan atau dirampas di seluruh Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis,” kata Pejabat Perwakilan EU untuk Palestin dalam satu kenyataan.
Jumlah itu adalah bilangan tertinggi yang direkodkan sejak 2016, kata pejabat berkenaan.
Menurut kenyataan, lebih 80 peratus daripada struktur yang dirobohkan – 781 struktur – terletak di Kawasan C Tebing Barat, di mana berada di bawah kawalan penuh tentera pengganas Israel, sekali gus menyebabkan hampir 1,031 penduduk Palestin dipindahkan.
“Daripada struktur yang disasarkan dalam tempoh pelaporan 12 bulan, 101 struktur dibiayai oleh negara anggota EU atau EU (bernilai RM1.6 juta), mewakili kerugian kewangan ketiga tertinggi sejak 2016,” katanya.
Kenyataan EU juga memetika 849 serangan peneroka haram terhadap Palestin pada 2022, namun setakat ini tiada sebarang komen dikeluarkan pihak berkuasa Israel terhadap EU.
Israel sering menggunakan alasan faktor permit pembinaan untuk merobohkan struktur Palestin, terutamanya di Kawasan C.
Di bawah Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Kawasan A, B, dan C.
Sumber: Ismaweb