Terkini
Bahasa Melayu cabaran kepada guru SJKC
Anggapan Bahasa Melayu adalah subjek yang sukar dikuasai selain menganggapnya sebagai mata pelajaran tidak penting untuk dipelajari menjadi cabaran utama kepada guru subjek berkenaan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

- Terdapat murid yang pesimis dengan kepentingan bahasa Melayu bila bersikap tak acuh atau tidak apa. Ini kerana, ada segelintir murid bukan Melayu rasakan mereka tiada masalah jika gagal mata pelajaran berkenaan kerana masih boleh bersekolah di institusi persendirian atau swasta.
- Keadaan sekitar seperti lokasi sekolah dan kemajmukan masyarakat turut boleh mempengaruhi tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid. – Guru bahasa Melayu SJKC Masai, Johor Penny Lim
- “Ke mana kita pergi sekalipun, bahasa Melayu tetap ada dalam silibus kita. Jadi ia penting untuk diingatkan pada mereka dari awal lagi,” – Johor Penny Lim
- “Satu dari cabarannya ialah murid selalunya ‘bermanja’ dengan terjemahan bahasa Melayu ke dalam bahasa Mandarin sehingga menyebabkan proses penguasaan bahasa Melayu sedikit terbantut. – Mantan guru bahasa dan kesusasteraan Melayu, Munysi Dewan
Anggapan Bahasa Melayu adalah subjek yang sukar dikuasai selain menganggapnya sebagai mata pelajaran tidak penting untuk dipelajari menjadi cabaran utama kepada guru subjek berkenaan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Malah hal itu menjadi sebahagian daripada asam garam yang perlu dilalui bagi mana-mana guru di sekolah aliran berkenaan.
Terdapat juga murid yang pesimis dengan kepentingan bahasa Melayu apabila bersikap tak acuh atau tidak apa. Ini kerana, ada segelintir murid bukan Melayu yang merasakan mereka tiada masalah jika gagal mata pelajaran berkenaan kerana masih mampu bersekolah di institusi persendirian atau swasta.
Mungkin bagi murid bukan Melayu untuk mempelajari bahasa Melayu yang bukan bahasa ibunda mereka, situasinya hampir serupa dengan pengalaman dilalui murid Melayu yang mempelajari belajar bahasa Inggeris. Sudah pasti proses itu memerlukan masa untuk mereka boleh bertutur, menulis dan faham meskipun tidak begitu fasih.
Namun, persoalan yang membelenggu sekarang adalah, adakah bahasa Melayu wajib dikuasai atau memadai sekadar ‘boleh faham’ mahupun ‘boleh cakap’ tetapi sikit-sikit?
Guru bahasa Melayu SJKC Masai, Johor Penny Lim, yang berpengalaman mengajar kira-kira 26 tahun mengakui murid Cina terutamanya sukar untuk menguasai bahasa kebangsaan kerana terpaksa bergelumang dengan kepayahan untuk menguasai kosa kata.
Berdasarkan pengalamannya mendidik, beliau dapati keadaan itu memaksa murid berkenaan mencampur aduk bahasa Cina atau bahasa Inggeris kerana mengalami kesukaran untuk menterjemah sesuatu perkataan.
Tambahnya, keadaan sekitar seperti lokasi sekolah dan kemajmukan masyarakat turut boleh mempengaruhi tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.
“Memang susah sebab penguasaan kosa kata sebabkan banyak perkara mereka tak faham. Kadang-kadang kalau dia nak cakap sesuatu, dia tak dapat nak terjemah. Jadi dia tak tahu macam mana sebut dalam bahasa Melayu.
“Macam di sekolah tempat saya mengajar, persekitaran sekolah termasuk guru besar memang menitikberatkan bahasa Melayu. Jadi kami selalu adakan aktiviti bahasa Melayu.
“Kami menggalakkan murid bertutur bahasa Melayu serta paksa mereka berbuat demikian.
“Apa yang saya lihat adalah persekitaran begitu penting. Hari ini bilangan murid Melayu kami di SJKC juga sudah bertambah. Jadi mereka berpeluang (untuk mahir) sebab budak-budak senang berkawan…tak kira bangsa apa pun mereka berkawan. Jadi mereka akan cuba bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya.
Pergaulan antara murid itu katanya membantu meningkatkan bukan sahaja bahasa Melayu tetapi juga Mandarin kerana kebanyakan murid Melayu yang belajar di SJKC tidak mahir dalam bahasa itu.
“Murid-murid ini akan saling membantu. Murid Melayu nanti pun dia cuba cakap dengan budak Cina sehingga dua-dua pun akan cuba nak cakap bahasa Cina. Dalam keadaan ini, kedua-dua bahasa dapat ditingkatkan,” katanya.
Mengenai kepentingan bahasa Melayu dalam aspek kehidupan, Lim berkata beliau selalu menitipkan peringatan kepada anak muridnya supaya mengambil serius mata pelajaran berkenaan.
Walau belajar di sekolah persendirian sekalipun, beliau menegaskan bahawa murid berkenaan tertakluk kepada syarat ditetapkan sebelum melangkah maju ke peringkat pendidikan seterusnya.
“Biasanya cara saya…saya akan beritahu murid, bahasa Melayu kalau gagal…kamu kena masuk kelas peralihan. Kamu tak boleh masuk terus Tingkatan Satu. Saya pun ada bagi tahu mereka walaupun ada satu pilihan lain iaitu dengan masuk sekolah persendirian, tetapi saya beritahu mereka bahawa kita berada di Malaysia dan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
“Ke mana kita pergi sekalipun, bahasa Melayu tetap ada dalam silibus kita. Jadi ia penting untuk diingatkan kepada mereka dari awal lagi,” katanya.
Bagi mantan guru bahasa dan kesusasteraan Melayu yang juga Munysi Dewan, Teo Wai Sing mengakui bahawa mengajarkan Bahasa Melayu di SJKC ada cabaran yang tertentu terpaksa diharungi.
“Satu daripada cabarannya ialah murid selalunya ‘bermanja’ dengan penterjemahan bahasa Melayu ke dalam bahasa Mandarin sehingga menyebabkan proses penguasaan bahasa Melayu sedikit terbantut.
“Selain itu, mereka tidak berada dalam persekitaran yang baik untuk bertutur dalam bahasa Melayu.
“Maksud persekitaran adalah berkaitan dengan senario dan rakan-rakan sekelas yang masing-masing juga berbahasa Mandarin. Umumnya, peluang berbahasa Melayu itu hanya ada dalam waktu subjek berkenaan sahaja,” katanya.
Sementara itu, berkongsi detik awal sewaktu belajar bahasa Melayu, murid Tahun Enam SJKC Masai, Zhang Fei, berkata pada peringkat awal dia mengakui menghadapi kesukaran untuk menguasai bahasa Melayu terutama untuk menyebut perkataan tertentu.
Namun katanya, semuanya semakin baik kerana prestasinya didorong persekitaran kelas dan sekolah termasuk ibu bapa yang banyak membantunya bercakap dalam bahasa Melayu. Malah sehingga kini katanya, beliau lebih senang untuk bertutur dalam bahasa Melayu baku.
Bagi seorang lagi murid Tahun Enam, Guan Yu, dia bersependapat dengan Zhang Fei, faktor keadaan sekeliling boleh memberi kesan terhadap penguasaan bahasa Melayu.
Berkongsi teknik belajar bahasa Melayu, dia berkata bahasa kebangsaan mudah dipelajari jika kerap berkomunikasi dalam bahasa berkenaan.
“Saya banyak bercakap bahasa Melayu dengan ibu bapa saya. Walaupun saya boleh bertutur dalam bahasa Melayu, namun teknik penulisan saya juga perlu dibaiki sedikit sebanyak mengikut laras bahasa lisan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
