Terkini
Lebih 20 papan tanda ‘lacur’ bahasa Melayu, Majlis Perbandaran Manjung digesa ambil tindakan

- Papan tanda atau iklan itu kebanyakan memaparkan penggunaan tulisan bahasa Cina, bahasa Inggeris dan Tamil tanpa menyertakan tulisan bahasa Melayu.
- Pengguna Facebook Randuk menulis hantaran Facebook berkenaan selepas mengunjungi Ayer Tawar, Perak pada Jumaat lalu di mana dia turut menyertakan lebih 20 gambar memaparkan berlakunya ‘pelacuran’ bahasa Melayu di kawasan tersebut ke atas papan tanda premis atau iklan, termasuk melibatkan rumah ibadat bukan Islam.
- “Dari segi tanda mercu negeri yang mana ini adalah di bawah maksud rasmi kerajaan, kerajaan wajib bahasa Melayu sahaja. Ini siap dengan jata negeri Perak ni, siapa yang luluskan?
- “Malah dalam borang permohonan papan tanda MPM juga ada diletakkan syarat pengesahan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia yang mana bahasa Melayu wajib diutamakan,” soal Randuk.
KUALA LUMPUR — Majlis Perbandaran Manjung (MPM) digesa mengambil tindakan tegas dan pantas berhubung isu pelacuran bahasa Melayu di papan tanda premis atau iklan yang berlaku di Ayer Tawar, Perak ketika ini.
Gesaan itu dibuat pengguna Facebook, Randuk pada Sabtu lalu yang menegaskan bahawa Undang-undang sudah wujud dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 di mana Bahasa Melayu wajib diutamakan dari segi saiz, warna dan kedudukannya berbanding bahasa asing.
Randuk menulis hantaran Facebook berkenaan selepas mengunjungi Ayer Tawar, Perak pada Jumaat lalu di mana dia turut menyertakan lebih 20 gambar memaparkan berlakunya ‘pelacuran’ bahasa Melayu di kawasan tersebut ke atas papan tanda premis atau iklan, termasuk melibatkan rumah ibadat bukan Islam.

Foto: Antara gambar pelacuran bahasa Melayu di Ayer Tawar, Perak dimuat naik Randuk di Facebook.
Papan tanda atau iklan itu kebanyakan memaparkan penggunaan tulisan bahasa Cina, bahasa Inggeris dan Tamil tanpa menyertakan tulisan bahasa Melayu.
“Dari segi tanda mercu negeri yang mana ini adalah di bawah maksud rasmi kerajaan, kerajaan wajib bahasa Melayu sahaja. Ini siap dengan jata negeri Perak ni, siapa yang luluskan?
“Malah dalam borang permohonan papan tanda MPM juga ada diletakkan syarat pengesahan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia yang mana bahasa Melayu wajib diutamakan.
“Ini penting untuk memperkasa, memulihara identiti Perak yang telah ditubuhkan sebagai negeri Melayu Islam sejak 497 tahun lepas,” kata Randuk sambil mempersoalkan bagaimana Yang Dipertua (YDP) MPM boleh mengendalikan bandar lebih besar kalau pelacuran bahasa Melayu di Ayer Tawar pun beliau tidak boleh bendung.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Randuk.
Menurut Randuk lagi, adalah wajib untuk diketahui dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Perak tidak wujud sebarang istilah Cina, India dan Bangladesh di mana kesemua itu bukan identiti negeri tersebut.
Dia turut mempersoalkan kesan yang perlu ditanggung negara apabila YDP MPM culas menunaikan amanah memperkasa bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Foto: Antara gambar pelacuran bahasa Melayu di Ayer Tawar, Perak dimuat naik Randuk di Facebook.
Persoalan lain dibangkitkan pengguna Facebook itu adalah berkenaan kesan tindakan tersebut terhadap jati diri warga Malaysia yang membesar di bandar terbabit.
“Adakah mereka akan cenderung memperkasa bahasa Melayu, atau cenderung melacurkan bahasa negara ini?
“Bagaimana kesannya terhadap imej Sultan Perak yang sering bertitah mengingatkan tentang rasuah dan juga tiada toleransi ke atas asas perlembagaan Persekutuan, termasuklah bahasa Melayu?
“Bagaimana kesannya pada kutipan hasil negeri Perak jika keculasan sebegini berlaku yang mana hasil kompaun kepada syarikat besar terutamanya tidak disalurkan kepada hasil negeri tetapi masuk poket pegawai PBT tertentu yang meluluskan/tutup mata pada pelacuran bahasa Melayu di papan tanda premis/iklan ini?,” katanya.

Foto: Antara gambar pelacuran bahasa Melayu di Ayer Tawar, Perak dimuat naik Randuk di Facebook.
Randuk merupakan satu jenama pakaian yang memperjuangkan isu bahasa Melayu sejak 2012 dan pada Ogos tahun lalu telah menubuhkan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bernama Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI). — The Merdeka Times
