Connect with us

Terkini

Tuduhan PASTI, SRITI ekstremis hanya untuk cetuskan Islamofobia

Cubaan pihak tertentu mengaitkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dengan ekstremisme dibuat bagi mencetuskan agenda Islamofobia.

Rasyidah Zulkifli

Published

on

Tuduhan PASTI, SRITI ekstremis hanya untuk cetuskan Islamofobia
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Dakwaan PASTI dan SRITI sebagai ekstremis dibuat bagi mencetuskan agenda Islamofobia.
  • Pensyarah di Institut Dakwah Imam Sa’id Hawwa (INTIMAM) Yayasan Mujamma’ Darul Hadis Malaysia (YAMDAH), Muhammad Mujahid Mohammad Fadzil berkata dakwaan itu dilihat sebaris dengan apa digariskan RAND Corporation, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amerika Syarikat.
  • “Pada saya, tidak pelik kalau ada tuduhan terhadap PASTI, SRITI dan sealiran dengannya sebagai tempat melahirkan ekstremis. Ia dicetuskan selepas Amerika melihat demokrasi yang merupakan senjata ampuh mereka, dikalahkan oleh gerakan Islam,” katanya di FB.

KUALA LUMPUR – Cubaan pihak tertentu mengaitkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dengan ekstremisme dibuat bagi mencetuskan agenda Islamofobia.

Pensyarah di Institut Dakwah Imam Sa’id Hawwa (INTIMAM) Yayasan Mujamma’ Darul Hadis Malaysia (YAMDAH), Muhammad Mujahid Mohammad Fadzil berkata dakwaan itu dilihat sebaris dengan apa digariskan RAND Corporation, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amerika Syarikat.

“Pada saya, tidak pelik kalau ada tuduhan terhadap PASTI, SRITI dan sealiran dengannya sebagai tempat melahirkan ekstremis. 

“Semua masih ingat, 11 September 2001 adalah tarikh keramat untuk mencetuskan Islamofobia. 

“Ia dicetuskan selepas Amerika melihat demokrasi yang merupakan senjata ampuh mereka, dikalahkan oleh gerakan Islam,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Beliau berkata gerakan-gerakan Islam ini dilabelkan sebagai “Islam Politik” di mana ia masuk ke dalam rongga demokrasi dan mencapai kemenangan pada awal 90-an. 

“Iaitu Parti Refah di Turki, Parti Front Islamic Salvation di Algeria dan PAS di Kelantan. Jadi, untuk mengatasinya, Amerika mencetuskan Islamofobia dan terjadilah peristiwa 11 September 2001.

“Keganasan-keganasan yang terjadi, semuanya disangkutkan pada bahu-bahu gerakan Islam tadi dengan sulaman label pengganas. 

“Dalam masa yang sama, mereka menjenamakan juga ‘Islam Radikal’, seolah olah perjuangan Islam dalam petak politik itu adalah perjuangan radikal,” katanya.

Hakikatnya, bekas calon PAS di Parlimen Lenggong pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu berkata Amerika mahu umat Islam meninggalkan dunia politik. 

“Tujuan mereka lakukan semua ini disusuli dengan Islam baru yang diacuankan oleh mereka, iaitu Islam Moderate, atau Islam Sederhana. Kalau dalam Bahasa Arab, mereka manipulasi istilah الوسطية. 

“Hari ini, label ekstremis dilakar semula yang mungkin terarah kepada propaganda dan apabila propaganda ini berjaya, maka semakin suburlah Islam Sederhana yang mereka inginkan. 

“Ya, kedua-dua agenda ini mereka perlu dilaksanakan sebaris. Semata-mata mengaitkan orang dengan ekstremis tak memadai. Mesti disekalikan dengan kemunculan watak-watak Muslim Sederhana,” katanya.

Khamis lalu dalam sidang media Menteri Pendidikan, seorang pemberita dari portal berbahasa Inggeris bertanyakan soalan mengenai tindakan kerajaan ke atas PASTI dan SRITI yang beliau kaitkan dengan isu ekstremisme.  – The Merdeka Times

Sumber: Facebook Muhammad Mujahid Perak

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending