Connect with us

Terkini

Group WhatsApp yang dikenali ‘NOBODY’ kini tidak lagi aktif

Pendakwah bebas, Firdaus Wong memaklumkan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bahawa kumpulan WhatsApp NOBODY diwujudkannya tidak lagi aktif.

Wartawan TMT

Published

on

Group WhatsApp yang dikenali ‘NOBODY’ kini tidak lagi aktif
Foto: Firdaus Wong.
  • “Group NOBODY tidak lagi aktif kerana semua aduan daripada mangsa-mangsa telah dikendalikan dan polis turut menjalankan siasatan terhadap laporan mereka,”
  • “penubuhan NOBODY adalah selaras dengan MRM disebabkan tujuannya ialah bagi dapatkan nasihat daripada penasihat agar setiap yang dibuat selari dengan ajaran Islam,”

Tenom: Pendakwah bebas, Firdaus Wong memaklumkan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bahawa kumpulan WhatsApp NOBODY diwujudkannya tidak lagi aktif.

Firdaus yang juga Pengasas dan Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata, ia berikutan semua aduan mangsa berkaitan sudah dikendalikan pihak polis.

“Group NOBODY tidak lagi aktif kerana semua aduan daripada mangsa-mangsa telah dikendalikan dan polis turut menjalankan siasatan terhadap laporan mereka,” katanya ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria.

Sementara itu, merujuk kepada jawapannya sebelum ini yang menyatakan tidak bersetuju penubuhan kumpulan WhatsApp NOBODY adalah tidak selaras dengan prinsip MRM, Firdaus menyatakan kenyataan terbabit diberikan kerana antara prinsip-prinsip organisasi berkenaan adalah semua perkara dilakukan hendaklah mematuhi syariat Islam.

“Selain itu, ia juga haruslah tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

“Maka penubuhan NOBODY adalah selaras dengan MRM disebabkan tujuannya ialah bagi mendapatkan nasihat daripada penasihat agar setiap yang dibuat selari dengan ajaran Islam,” katanya selaku saksi ketiga perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew atau atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37.

Terdahulu, sambungan perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan Ebit Lew diteruskan untuk hari kedua hari ini.

Menerusi perbicaraan semalam, Firdaus memaklumkan mahkamah dia melihat beberapa mesej serta gambar lucah secara terus daripada telefon bimbit milik ‘pengadu’ (identiti tidak didedahkan) yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, berkata, semua mesej dan gambar berkenaan dilihat sendiri apabila bertemu dengan ‘pengadu’ dan suami selepas laporan polis dibuat pada 7 Ogos 2021.

Ebit Lew pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom.

Menerusi pertuduhan berkenaan, Ebit Lew didakwa menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro

 

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending