Connect with us

Terkini

Cik Man didakwa empat pertuduhan lakukan amang seksual, kelucahan melampau

PU Azman yang lebih dikenali sebagai Cik Man didakwa di dua mahkamah berasingan di sini pada Rabu, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki berusia 17 dan 19 tahun pada Februari serta Jun lalu.

Wartawan TMT

Published

on

Cik Man didakwa empat pertuduhan lakukan amang seksual, kelucahan melampau
Foto: PU Azman (tengah).
  • PU Azman didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki pada Februari serta Jun lalu.
  • Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said dan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid.
  • Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 17 tahun bagi tujuan seksual.
  • Dia juga didakwa atas satu lagi pertuduhan, menggalakkan seorang kanak-kanak lelaki 17 tahun, untuk berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp.

KLANG – PU Azman yang lebih dikenali sebagai Cik Man didakwa di dua mahkamah berasingan di sini pada Rabu, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki berusia 17 dan 19 tahun pada Februari serta Jun lalu.

Azman, 41, nama sebenar, Azman Syah Alias mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said dan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid.

Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 17 tahun bagi tujuan seksual dalam bilik sebuah rumah inap desa di Sungai Udang di sini pada 20 Februari dan 29 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas satu lagi pertuduhan, menggalakkan seorang kanak-kanak lelaki 17 tahun, untuk berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp di sebuah rumah di Kampung Meru di sini pada 16 Ogos lalu.

Dia boleh dihukum bawah Seksyen 11(1)(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun.

Di Mahkamah Majistret pula, dia didakwa atas satu pertuduhan iaitu melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek di sini pada 10 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Azman Syah diwakili peguam Fahmi Adilah dan Mohamad Zahid Ahmad.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Dia juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan, serta melaporkan diri di balai polis berhampiran pada sekali sebulan.

Sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.

Pada 12 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, Azman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki, Februari dan Julai lalu.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending