Connect with us

Terkini

Agensi media perlu main peranan perangi berita palsu, ucapan kebencian

Agensi-agensi media di negara ini perlu memainkan peranan dalam memerangi penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian bagi memastikan keharmonian dalam negara terjamin, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Wartawan TMT

Published

on

Agensi media perlu main peranan perangi berita palsu, ucapan kebencian
Foto: Teo Nie Ching.
  • Agensi-agensi media harus memainkan peranan memerangi penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian untuk memastikan keharmonian dalam negara terjamin.
  • Mengikut perkembangan semasa, terutamanya penggunaan media sosial semakin meluas, perkara demikian perlu diberi perhatian oleh pihak media hanya menyampaikan maklumat sahih dan tepat sahaja.
  • “Zaman ini berita palsu sudah menjadi ancaman kepada demokrasi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain, jadi peranan yang perlu dimainkan oleh agensi media sekarang ialah bagaimana untuk kita kurangkan ucapan kebencian dan juga maklumat salah dan maklumat palsu,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR: Agensi-agensi media di negara ini perlu memainkan peranan dalam memerangi penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian bagi memastikan keharmonian dalam negara terjamin, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa, khususnya penggunaan media sosial yang semakin meluas, perkara demikian perlu diberi perhatian oleh pihak media dengan hanya menyampaikan maklumat sahih dan tepat sahaja.

“Zaman ini berita palsu sudah menjadi ancaman kepada demokrasi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain, jadi peranan yang perlu dimainkan oleh agensi media sekarang ialah bagaimana untuk kita kurangkan ucapan kebencian dan juga maklumat salah dan maklumat palsu.

“Pada masa yang sama, kita tidak hadkan hak kebebasan bersuara. Saya rasa kita perlu capai satu titik keseimbangan dan untuk pastikan bahawa keharmonian masyarakat adalah terjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar taklimat ketika lawatan kerja ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Mastura Ahmad Mustafa serta pengurusan tertinggi Bernama diwakili Pengerusinya Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Ariffin.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Antarabangsa, Jamaluddin Muhammad yang juga menanggung tugas sebagai Ketua Pengarang, dan Editor Eksekutif Harlina Samson yang juga menanggung tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita.

Mengulas mengenai lawatannya ke Bernama, beliau berharap agar agensi berita nasional itu dapat menjadi sumber pilihan buat pembaca di luar negara untuk mereka mengetahui mengenai perkembangan terkini dalam negara.

“Saya telah menerima satu taklimat yang cukup terperinci dan ini membantu saya untuk memahami fungsi dan juga cabaran yang dihadapi oleh Bernama.

“Saya harap di bawah pimpinan Menteri KKD Fahmi Fadzil dan juga saya akan bersama warga KKD dan Bernama, kami boleh membantu Bernama supaya dapat memberikan perkhidmatan menyeluruh selain memastikan informasi dan maklumat disampaikan kepada semua warga Malaysia, tiada orang yang tertinggal,” katanya.

Sumber: Astro Awani

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending