Connect with us

Terkini

Undi luar bandar ibarat ‘emas’ penentu kemenangan – Pensyarah

Undi daripada masyarakat luar bandar dan pedalaman boleh dianggap ‘emas’ kepada parti politik susulan kumpulan itu adalah suara penentu kepada kemenangan pada setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Wartawan TMT

Published

on

Undi luar bandar ibarat ‘emas’ penentu kemenangan - Pensyarah
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • 155 daripada 222 kerusi dipertandingkan merupakan kerusi parlimen luar bandar dan pedalaman, termasuk kawasan FELDA.
  • Persaingan politik di kawasan berkenaan semakin sengit disebabkan landskap politik negara yang kian dinamik, kerancakan proses urbanisasi, tahap pendidikan serta kadar liputan Internet yang semakin meluas
  • “Kawasan FELDA umpamanya, saya melihat dari segi trend sokongan pengundi sekitar 60.7 peratus pada PRU13 telah menurun secara drastik kepada 46.2 peratus pada PRU14. BN tidak lagi boleh mengharapkan kemenangan mudah di kerusi-kerusi di kawasan rancangan FELDA. – Pensyarah
  • “Generasi ketiga termasuklah pengundi 18 tahun, mereka inilah yang lebih terbuka dan cenderung mengundi mengikut play group mereka serta melihat tawaran yang memberi kelebihan kepada mereka. Oleh itu, pilihan raya kali ini tiada kawasan boleh dianggap deposit tetap kepada mana-mana parti,”

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Undi daripada masyarakat luar bandar dan pedalaman boleh dianggap ‘emas’ kepada parti politik susulan kumpulan itu adalah suara penentu kepada kemenangan pada setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Jumlah kerusi parlimen di luar bandar dan pedalaman termasuk kawasan yang memiliki penempatan FELDA merekodkan lebih separuh daripada keseluruhan 222 kerusi dipertandingkan iaitu sebanyak 155 kerusi mengikut rekod parti politik dan menurut beberapa penganalisis politik, ia tidak lagi bersifat ‘putih’ kepada sesebuah parti politik berbanding sebelum ini.

Berikutan perubahan landskap politik negara yang kian dinamik selain disumbang dengan kerancakan proses urbanisasi, tahap pendidikan serta kadar liputan Internet semakin meluas, mereka percaya persaingan politik di kawasan-kawasan berkenaan yang kini disifatkan terbuka, akan bertambah sengit.

Menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah PRU paling sukar diramal, penganalisis politik juga melihat Sabah dan Sarawak yang masing-masing memiliki 25 dan 31 kerusi serta kawasan yang mempunyai kem tentera juga tidak lagi bersifat deposit tetap kepada sesebuah gabungan politik.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA Kampus Raub, Pahang Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata berdasarkan kepada kajian terhadap dua siri pilihan raya umum sebelum ini, negeri yang mempunyai kawasan tanah rancangan FELDA menunjukkan trend penyusutan sokongan daripada pengundi kepada Barisan Nasional (BN).

“Kawasan FELDA umpamanya, saya melihat dari segi trend sokongan pengundi sekitar 60.7 peratus pada PRU13 telah menurun secara drastik kepada 46.2 peratus pada PRU14. BN tidak lagi boleh mengharapkan kemenangan mudah di kerusi-kerusi di kawasan rancangan FELDA.

“Parti-parti politik ini berkongsi segmen pengundi yang sama maka dari segi pola pengundian, ia memberi kelebihan kepada parti yang mampu meraih sokongan maksimum pengundi,” katanya kepada Bernama.

Antara kawasan Parlimen yang dikategorikan luar bandar dan pedalaman adalah Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan; Pagoh, Sekijang, Labis, Segamat, Ledang, Kulai dan Tebrau di Johor); Bentong, Raub dan Temerloh (Pahang); Dungun, Setiu, Kuala Nerus (Terengganu) serta Jerlun, Padang Terap, Pokok Sena, Baling, Sik (Kedah).

Di Sabah, ia membabitkan antaranya Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran dan Papar manakala di Sarawak pula adalah Batang Lupar, Batang Sadong, Lubok Antu, Saratok, Kapit, Hulu Rajang, Sibu dan Baram.

Che Hamdan berkata selain mengharapkan sokongan pengundi setia, kelompok pengundi muda termasuk yang pertama kali mengundi juga bakal menentukan kemenangan di sesebuah kawasan.

Senada dengan Che Hamdan, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata pola pengundian masyarakat luar bandar kini semakin berubah berikutan kepesatan pembangunan selain tahap pendidikan yang diterima.

Mengambil contoh FELDA, beliau berkata ada sebahagiannya kini adalah kawasan bandar dan pengundi khususnya generasi ketiga dilihat bersifat lebih terbuka berbanding dua generasi sebelum itu.

“Generasi pertama misalnya, mereka mungkin cenderung memilih parti sebelum ini manakala generasi kedua yang memiliki tahap pendidikan lebih baik, mereka akan melihat kepada isu namun masih mengenang jasa kerajaan.

“Generasi ketiga termasuklah pengundi 18 tahun, mereka inilah yang lebih terbuka dan cenderung mengundi mengikut play group mereka serta melihat tawaran yang memberi kelebihan kepada mereka. Oleh itu, pilihan raya kali ini tiada kawasan boleh dianggap deposit tetap kepada mana-mana parti,” katanya.

Beliau berkata berlainan dengan kawasan bandar, ia masih dilihat sebagai deposit tetap kepada Pakatan Harapan (PH) dan untuk parti lain memenanginya, ia memerlukan usaha berlipat ganda manakala bagi Sabah dan Sarawak, parti-parti politik di kedua-dua negeri itu boleh memberikan sokongan kepada mana-mana gabungan di Semenanjung.

Presiden Gabungan Wawasan Generasi FELDA Tan Sri Rozali Ismail dalam sidang media pada 3 Nov lepas dilapor berkata gabungan itu yang mempunyai keahlian seramai 135,000 di 317 tanah rancangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah, berikrar menyokong BN pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.

Sumber : BERNAMA

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Antarabangsa

(VIDEO) Pintas serangan Iran, hubungan Jordan-Israel masih kukuh?

Israel menyifatkan pintasan dron Iran yang dilancarkan tentera udara Jordan pada malam Sabtu membuktikan hubungan dua negara masih kukuh.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri) & Raja Jordan, king Abdullah II ibn Al-Hussein (kanan).
  • Israel menyifatkan pintasan dron Iran yang dilancarkan tentera udara Jordan pada malam Sabtu membuktikan hubungan dua negara masih kukuh.
  • Felo kanan senior di The Washington Institute for Near East Policy berkata,campur tangan Amman pada malam Sabtu tidak mengejutkan.Sokongan dramatik kerajaan itu membuktikan kekuatan pakatan keselamatan antara Amman dan Israel. – Ghaith al-Omari
  • Pegawai kanan bersara dan pakar tentera, Mahmoud Ridasat yang berpangkalan di ibu negara Amman bagaimanapun berkata, laporan berita ini tidak lebih daripada propaganda Israel.

Israel menyifatkan pintasan dron Iran yang dilancarkan tentera udara Jordan pada malam Sabtu membuktikan hubungan dua negara masih kukuh.

Menurut portal berita online zionis, Times Of Israel, walaupun bantuan ketenteraan yang diberikan Amman kepada Israel mengejutkan ramai penduduknya namun ia tetap disambut penuh semangat di negara jajahan Yahudi tersebut.

Bagi sesetengah pengulas, campur tangan Amman pada malam Sabtu tidak mengejutkan. Ghaith al-Omari, warga asal Jordan yang juga seorang felo kanan senior di The Washington Institute for Near East Policy berkata, sokongan dramatik kerajaan itu membuktikan kekuatan pakatan keselamatan antara Amman dan Israel.

“Walaupun terdapat ketegangan politik antara Jordan dan Israel, hubungan ketenteraan dan perisikan tidak pernah berhenti,” katanya. 

“Sebenarnya, semakin politik memburuk, semakin rapatlah tentera, kerana mereka berdua memahami keperluan untuk mengekalkan hubungan ini. Ini sebahagian daripada doktrin ketenteraan Jordan dan doktrin ketenteraan Israel,” kata al-Omari dipetik TOI.

Seorang pegawai kanan bersara dan pakar tentera, Mahmoud Ridasat yang berpangkalan di ibu negara Amman bagaimanapun berkata, laporan berita ini tidak lebih daripada propaganda Israel.

Jelasnya, apa yang berlaku pada malam Sabtu lalu, tidak boleh dikira sebagai mempertahankan Israel, sebaliknya mempertahankan kedaulatan Jordan dan ruang udara negara tersebut.

Pada 1994, Jordan menjadi negara Arab kedua yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel (selepas Mesir pada 1979). Jordan melihat dirinya sebagai penjaga tapak suci umat Islam di Kota Lama Baitulmaqdis termasuk perkarangan Al-Aqsa dan kedua-dua negara itu juga mempunyai kerjasama keselamatan dan perisikan yang kukuh. 

Hubungan itu bagaimanapun mulai tegang sejak tercetusnya Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober tahun lalu.– The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending