Connect with us

Terkini

PRU15: Kami bantu selesai masalah, bukan buat ‘show’ – Ahmad Idham

Atas nama persahabatan, apatah lagi, masing-masing membina karier dalam dunia seni, calon PEJUANG kerusi Parlimen Port Dickson, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkunjung ke Perak bagi memberi sokongan kepada teman baik, Datuk Seri Eizlan Yusof yang turut bertanding mewakili parti sama bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

PRU15: Kami bantu selesai masalah, bukan buat 'show' - Ahmad Idham
Foto: Eizlan Yusof (kanan), Ahmad Idham (kiri)
  • Calon PEJUANG, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata beliau terpanggil beri sokongan kepada Datuk Seri Eizlan Yusof selepas melihat usaha rakannya mengenalpasti beberapa isu berbangkit di Sabak Bernam.
  • Mereka mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bergerak di bawah GTA menggunakan logo PEJUANG iaitu di bawah komponen NGO, Gagasan Bangsa.
  • “Jiwa kami, jiwa NGO. Kami kenal pasti masalah dan selesaikan… Kami bukan buat ‘show’.” 
  • “Jadi, jika masyarakat di Sabak Bernam mahu hab pendidikan khas, rasanya mereka tahu siapa yang patut diundi,” kata Ahmad Idham.

KUALA LUMPUR: Atas nama persahabatan, apatah lagi, masing-masing membina karier dalam dunia seni, calon PEJUANG kerusi Parlimen Port Dickson, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkunjung ke Perak bagi memberi sokongan kepada teman baik, Datuk Seri Eizlan Yusof yang turut bertanding mewakili parti sama bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Idham berkata, beliau terpanggil memberi sokongan kepada Eizlan selepas melihat usaha rakannya itu mengenalpasti beberapa isu berbangkit di Sabak Bernam sejak beberapa hari lalu.

“Saya mengikuti perkembangan Eizlan dan melihat tempat yang dilawati dan isu yang didengarinya hingga tular dalam media sosial.

“Kami mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bergerak bawah Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan logo PEJUANG iaitu di bawah komponen NGO, Gagasan Bangsa.

“Jiwa kami, jiwa NGO. Kami kenal pasti masalah dan selesaikan… Kami bukan buat ‘show’,” katanya yang bertandang ke Sabak Bernam, kelmarin.

Pada pertemuan hampir tiga jam itu, Ahmad Idham dan Eizlan bertukar pandangan mengenai perancangan, misi dan visi bagi kerusi Parlimen ditandingi.

Ahmad Idham turut membangkitkan soal capaian jalur lebar di Sabak Bernam yang dianggap tidak memuaskan biarpun negara mencapai banyak kemajuan.

“Saya terkejut macam mana pada 2022, capaian jalur lebar di Sabak Bernam masih bermasalah.

“Sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), saya tahu cara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bekerja kerana kami di bawah kementerian sama,” katanya.

Ahmad Idham turut menyatakan hasrat membuka hab pendidikan khas untuk anak istimewa di Sabak Bernam.

“Itu janji saya kepada Eizlan kerana kami membesar bersama dan beliau faham mengenai anak istimewa.

“Jadi, jika masyarakat di Sabak Bernam mahu hab pendidikan khas, rasanya mereka tahu siapa yang patut diundi,” katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Author