Connect with us

Terkini

Pemimpin politik wanita lebih inklusif, konsultatif dan empati

Rakyat diminta memberi peluang kepada calon wanita yang mewakili hanya 13.4 peratus atau 127 orang daripada keseluruhan 945 calon bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Secara keseluruhan, seramai 187 calon wanita mencuba nasib pada PRU15 dengan 60 daripada mereka adalah calon di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Wartawan TMT

Published

on

Pemimpin politik wanita lebih inklusif, konsultatif dan empati
Foto (dari kiri): Noraini Ahmad, Siti Zailah Mohd Yusoff, Rina Harun, Mastura Mohd Yazid
  • Seramai 187 calon wanita cuba nasib PRU15 dengan 60 daripada mereka adalah calon di peringkat kerusi DUN.
  • Komposisi calon wanita begitu besar dari sebuah parti tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, sedangkan penggubal undang-undang wanita didakwanya mempunyai beberapa kelebihan berbanding lelaki. 
  • Kajian menunjukkan pemimpin lelaki cenderung lebih agresif dan eksklusif, sedangkan kepemimpinan wanita lebih inklusif, konsultatif dan empati. 
  • “Dalam dunia hari ini yang berpecah-belah, kepemimpinan politik disemai dengan naluri keibuan boleh membuat perubahan ketara dalam kehidupan rakyat.” – Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha

 

HULU SELANGOR: Rakyat diminta memberi peluang kepada calon wanita yang mewakili hanya 13.4 peratus atau 127 orang daripada keseluruhan 945 calon bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Secara keseluruhan, seramai 187 calon wanita mencuba nasib pada PRU15 dengan 60 daripada mereka adalah calon di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha, berkata daripada keseluruhan 1,386 calon kerusi Parlimen dan DUN yang mengambil bahagian pada PRU15, majoriti adalah lelaki iaitu sebanyak 87 peratus.

“Dalam masa beberapa hari lagi, rakyat Malaysia akan keluar mengundi dan memilih Ahli Parlimen serta ADUN di beberapa negeri. Saya ingin mengingatkan bahawa komposisi Ahli Parlimen wanita di Dewan Rakyat sebelum ini hanya sekitar 15 peratus daripada 222 ahli.

“Ini masih jauh daripada sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Parlimen wanita yang ditetapkan banyak pihak sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Beliau berkata, pemerkasaan wanita adalah antara tunjang utama PBM apabila empat calon wanita diberi kepercayaan daripada enam kerusi Parlimen yang ditanding parti berkenaan pada PRU ini.

Haniza bertanding di Parlimen Hulu Selangor, manakala Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang. Dua lagi calon parti itu, Dr Daroyah Alwidi bertanding di Kapar dan Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din di Labuan.

Di peringkat DUN pula, daripada dua kerusi ditandingi PBM, satu membabitkan calon wanita, iaitu Nazmahwati Walli di kerusi DUN Bugaya di Sabah.

Haniza berkata, komposisi calon wanita yang begitu besar dari sebuah parti tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, sedangkan penggubal undang-undang wanita didakwanya mempunyai beberapa kelebihan berbanding lelaki. 

Katanya, kajian menunjukkan pemimpin lelaki cenderung menjadi lebih agresif dan eksklusif, sedangkan kepemimpinan wanita bersifat lebih inklusif, konsultatif dan mempunyai lebih empati. 

“Dalam dunia hari ini yang berpecah-belah, kepemimpinan politik yang disemai dengan naluri keibuan boleh membuat perubahan yang ketara dalam kehidupan rakyat.

“Kebangkitan ekstremisme yang kini kita lihat di negara Barat dan telah merebak ke bahagian dunia ini, termasuk Malaysia, terutamanya disebabkan rakyat berasa disisihkan daripada proses politik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi memberi peluang kepada PBM yang meletakkan ramai calon wanita bersaing pada PRU15 ini.

“Saya merayu pengundi untuk memberi peluang kepada PBM. Negara memerlukan lebih ramai pemimpin politik wanita dan dalam hal ini, PBM perlu diberi peluang pada PRU kali ini,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending