Antarabangsa
Lembaga Perubatan Florida bantah rawatan tukar jantina bagi golongan bawah umur
Selepas lima jam memberi keterangan dan bantahan, Lembaga Perubatan Florida pada Jumaat mengundi untuk mula merangka peraturan yang menghalang semua kanak-kanak di bawah umur di negeri itu daripada menerima penyekat akil baligh, terapi hormon atau pembedahan sebagai rawatan untuk disforia jantina (kecelaruan jantina).

- Lembaga Perubatan Florida mengundi untuk mula merangka peraturan yang menghalang semua kanak-kanak di bawah umur di negeri itu daripada menerima penyekat akil baligh, terapi hormon atau pembedahan sebagai rawatan untuk disforia jantina (kecelaruan jantina).
- Mesyuarat undian itu berlangsung selama lima jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando.
- Undian itu menerima reaksi hebat dari penunjuk perasaan yang turut berada di lokasi mesyuarat.
- Agensi Pentadbiran Penjagaan Kesihatan Florida mengeluarkan laporan pada Jun yang mendapati beberapa perkhidmatan rawatan disforia jantina – iaitu pembedahan tukar jantina, hormon silang jantina dan penyekat akil baligh – tidak konsisten dengan piawaian perubatan profesional yang diterima secara meluas.
AMERIKA SYARIKAT: Selepas lima jam memberi keterangan dan bantahan, Lembaga Perubatan Florida pada Jumaat mengundi untuk mula merangka peraturan yang menghalang semua kanak-kanak di bawah umur di negeri itu daripada menerima penyekat akil baligh, terapi hormon atau pembedahan sebagai rawatan untuk disforia jantina (kecelaruan jantina).
Menurut laporan NBC, lembaga perubatan Florida adalah yang pertama di negara itu melaksanakan peraturan sedemikian.
Pegawai perubatan di negeri itu juga cuba menyekat penjagaan perubatan pengesahan jantina untuk transgender bawah umur.
Menjelang akhir mesyuarat lima jam itu, penunjuk perasaan mula menjerit “Memalukan!” pada ahli lembaga pengarah, dan sebahagian daripada mereka membuat kematian olok-olok di lobi Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando, tempat mesyuarat itu diadakan.
Undian itu adalah kemas kini terbaharu dalam usaha berbulan-bulan diketuai pentadbiran Gabenor Ron DeSantis bagi menyekat penjagaan peralihan jantina untuk golongan bawah 18 tahun.
Usaha itu bermula pada April, apabila DeSantis dan Ketua Pakar Bedah Florida, Joseph Ladapo mengeluarkan panduan melalui Jabatan Kesihatan Florida yang berusaha menghalang “peralihan jantina sosial” dan penjagaan perubatan pengesahan jantina untuk kanak-kanak di bawah umur.
Tindakan itu ditentang penyokong LGBT dan pakar perubatan.
Kumpulan perubatan bertauliah seperti Persatuan Perubatan Amerika, Akademi Pediatrik Amerika dan Persatuan Psikologi Amerika turut menyokong penjagaan pengesahan jantina untuk kanak-kanak dan remaja transgender.
Agensi Pentadbiran Penjagaan Kesihatan Florida mengeluarkan laporan pada Jun yang mendapati beberapa perkhidmatan rawatan disforia jantina – iaitu pembedahan tukar jantina, hormon silang jantina dan penyekat akil baligh – tidak konsisten dengan piawaian perubatan profesional yang diterima secara meluas.
Selain itu, ia bersifat eksperimen dan masih memerlukan siasatan serta berisiko untuk memberi kesan jangka panjang berbahaya.
Sumber: NBC News
