Terkini
Faham kebimbangan Melayu, Dong Zong ajak dialog
Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) memohon pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik.

- Dong Zong faham kebimbangan masyarakat Melayu dan pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk tingkatkan pemahaman UEC, selain tingkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.
- “Tidak kira mana-mana parti politik jadi kerajaan, pendirian Dong Zong untuk bantu negara kita dalam pembangunan modal insan dan bertegas untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC secara akademik serta profesional,” – Dong Zong.
- Sabtu lalu, Dong Zong sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua tahun lalu supaya UEC diiktiraf.
KUALA LUMPUR – Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) memohon pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik.
Dong Zong dalam kenyataannya menyebut, mereka memahami kebimbangan masyarakat Melayu dan atas dasar itu, pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC, selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.
“Kita tidak mahu pelbagai pihak menjadikan UEC sebagai alat politik, yang sengaja digembar-gemburkan sebagai isu kaum.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kerajaan baharu mula dibentuk dan pelbagai lapisan masyarakat mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melakarkan pelan pembangunan baharu untuk negara kita.
“Malangnya, isu pengiktirafan UEC pula diperbesarkan dan digembar-gemburkan secara berlebihan dengan cubaan untuk mencetuskan konflik sosial dan mewujudkan permusuhan dan persengketaan.
“Tidak kira mana-mana parti politik yang menjadi kerajaan, pendirian Dong Zong selama ini adalah untuk membantu negara kita dalam pembangunan modal insan dan bertegas untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC secara akademik serta profesional,” katanya.
Sabtu lalu, Dong Zong sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua tahun lalu supaya UEC diiktiraf.
Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.
Pada masa sama, Dong Zong menyebut, semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, kurikulum SMPC juga menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara ini.
“UEC adalah satu pentaksiran akademik, serupa dengan pentaksiran STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) IB, A-Level dan sebagainya.
“UEC bukan satu petunjuk politik, oleh itu ahli politik tidak boleh menginterpretasikan UEC sewenang-wenangnya secara berlebihan untuk kepentingan peribadi.
“Sudah tentu, kami sememangnya dengan rendah hati menerima sebarang kritikan dan tunjuk ajar berkenaan kurikulum SMPC dan akan berusaha untuk penambahbaikan,” katanya.
Menurut Dong Zong, pihaknya juga meluluskan 11 resolusi melalui mesyuarat, baru-baru ini, yang berkait rapat dengan kemakmuran negara, sistem pendidikan, hak dan kepentingan pendidikan pelbagai kumpulan etnik dan lapisan masyarakat.
Katanya, ia termasuk penubuhan ‘Ombudsman’ (badan bebas) pendidikan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, penggubalan dasar pendidikan yang menyokong kepelbagaian budaya dan aliran sekolah, serta layanan yang adil kepada semua aliran sekolah.
Sementara itu, Dong Zong dalam kenyataan itu juga menyebut, pihaknya bersetuju bahawa Kerajaan Perpaduan harus memberi keutamaan untuk melaksanakan langkah yang bermanfaat kepada rakyat, mengadakan tadbir urus yang baik dan berintegriti dan memulihkan kebebasan kehakiman.
Selain itu, katanya, Kerajaan Perpaduan perlu meringankan beban hidup rakyat dan merangsangkan pembangunan ekonomi, memupuk dialog yang rasional, menyatupadukan hati rakyat dan tidak menghampakan mandat rakyat.
“Dong Zong menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyokong kerajaan baharu untuk mengutamakan pemulihan ekonomi negara, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memupuk keharmonian sosial,” katanya.
Sumber : Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login