Politik
MCA, DAP dan Gerakan janji teruskan usaha iktiraf UEC
- “Dalam isu pengiktirafan UEC (Unified Examination Certificate), kami telah menerima janji secara lisan daripada ketiga-tiga parti ini (DAP, MCA, Gerakan) bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan kami untuk menggesa kerajaan mengiktiraf UEC secara rasmi. Selain itu, kami juga akan bersama-sama memantau tindakan kerajaan.”
- Demikian antara kata Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Yew Sing di satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Dong Zong pada 22 Mac lalu.
- Kenyataan itu dikongsikan pengguna Facebook, Rafizah Cian Lin pada Selasa yang menterjemahkan ia daripada bahasa Mandarin kepada bahasa Melayu merujuk kepada Oriental Daily.
KUALA LUMPUR — “Dalam isu pengiktirafan UEC (Unified Examination Certificate), kami telah menerima janji secara lisan daripada ketiga-tiga parti ini (DAP, MCA, Gerakan) bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan kami untuk menggesa kerajaan mengiktiraf UEC secara rasmi. Selain itu, kami juga akan bersama-sama memantau tindakan kerajaan.”
Demikian antara kata Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Yew Sing di satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Dong Zong pada 22 Mac lalu.
Kenyataan itu dikongsikan pengguna Facebook, Rafizah Cian Lin pada Selasa yang menterjemahkan ia daripada bahasa Mandarin kepada bahasa Melayu merujuk kepada Oriental Daily.
Sementara itu, Yew Sing berkata hasil dialog dengan DAP, MCA dan Gerakan, ketiga-tiga parti itu menyatakan kesediaan mengaturkan pertemuan antara Dong Zong bersama sekutu politik masing-masing bagi meningkatkan pemahaman antara satu satu sama lain dan membincangkan secara mendalam isu pengiktirafan UEC.
Menurut beliau, Dong Jiao Zong telah mengadakan pertemuan dengan MCA pada 12 Mac lalu dan menemui DAP serta Gerakan pada 20 Mac lalu. Pertemuan itu membincangkan isu berkaitan pengiktirafan UEC, pelaksanaan dasar pendidikan, serta pembangunan pendidikan Cina di mana ia berhasil mencapai beberapa persefahaman bersama.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Rafizah Cian Lin.
Beliau juga berpendapat kini ialah masa terbaik untuk menggerakkan usaha pengiktirafan UEC kerana ketiga-tiga parti politik tersebut menerima pengiktirafan UEC sebagai tuntutan utama Dong Zong.
Tambahnya, walaupun kerajaan sekarang ialah kerajaan perpaduan yang terdiri daripada lebih 10 buah parti, ketiga-tiga parti itu tetap bertanggungjawab menjalankan pemantauan bersama.
“Semasa pertemuan dengan mereka kali ini, kami telah menyerahkan semua maklumat berkaitan Dong Zong kepada mereka. Mereka haruslah berkomunikasi dengan sekutu politik dalam gabungan masing-masing agar mereka faham pendidikan Cina dan UEC membawa banyak manfaat kepada daya saing negara serta pembangunan bakat, tanpa sebarang kesan buruk,” kata Yew Sing.
Difahamkan, Rafizah adalah seorang guru bahasa Mandarin yang sering berkongsikan reaksi netizen daripada akhbar berbahasa Cina antara lain membabitkan isu pendidikan Cina, Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa kebangsaan, serta menterjemahkan artikel-artikel terkini daripada portal bahasa Cina kepada bahasa Melayu.
Di Malaysia, UEC merupakan sijil yang digunapakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina dan ia tidak diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), namun diterima untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta.
Usaha untuk mengiktiraf UEC sering kali dibantah, bukan sahaja oleh pelbagai pakar berbangsa Melayu malah Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara pada 2022 turut berpandangan bahawa mana-mana parti politik menjanjikan akan mengiktiraf sijil UEC disifatkan sebagai tindakan politik sempit dan rakus tanpa memikirkan tentang negara serta kesan pengiktirafan itu kepada generasi akan datang. Ini berikutan sudah jelas UEC tidak boleh disokong oleh mana-mana kerajaan kerana ia bukan sebahagian daripada institusi pendidikan kerajaan.
Beliau juga pada 2019 pernah menyatakan bahawa kerajaan tidak wajar mengiktiraf dan memberi layanan sama rata kepada lepasan UEC seperti lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Pada 2023, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga dilaporkan berkata bahawa kerajaan tiada perancangan untuk mengiktiraf sijil UEC di mana pendirian itu dibuat berdasarkan dasar pendidikan negara dan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996.— The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login