Connect with us

Terkini

[VIDEO] Ancam bunuh diri, aktivis Mesir lulusan universiti di Malaysia rayu suaka politik

Seorang aktivis Mesir dan pencari suaka politik membuat hantaran video di media sosial yang beliau mahu menamatkan penderitaan hidupnya dengan membunuh diri kerana tidak mendapat maklum balas berkenaan permohonan suakanya. 

Wartawan TMT

Published

on

[VIDEO] Ancam bunuh diri, aktivis Mesir lulusan universiti di Malaysia rayu suaka politik
Foto: Ibrahim Abouali, 29.

KUALA LUMPUR – Seorang aktivis Mesir dan pencari suaka politik membuat hantaran video di media sosial yang beliau mahu menamatkan penderitaan hidupnya dengan membunuh diri kerana tidak mendapat maklum balas berkenaan permohonan suakanya. 

Ibrahim Abouali, 29, yang juga lulusan sains politik di Malaysia memohon suaka di Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada 2020 selepas dia tidak dapat memperbaharui pasportnya susulan tuduhan politik yang dikenakan terhadapnya di Mesir, demikian lapor Middle East Eye. 

“Saya tidak mendapat sebarang sokongan daripada mana-mana institusi yang mengambil berat tentang kes sebegini. Itulah sebabnya saya membuat video, Ia adalah harapan terakhir saya sebelum saya membunuh diri.

“Tiada siapa yang akan merasakan bagaimana keadaannya melainkan anda melaluinya dan saya sangat berharap tiada siapa yang melaluinya sama sekali,” katanya menerusi hantaran video di Facebook. 

Menurut Ibrahim, beliau terlibat dalam dunia politik sejak revolusi Mesir antara 2011 dan 2014 sebelum meninggalkan Mesir untuk menyambung pelajaran di Malaysia. 

Katanya, dia dibenarkan meninggalkan Mesir tanpa sebarang pertuduhan dikenakan terhadapnya pada Januari 2015. 

“Saya terlibat dalam politik di Mesir dari 2011 hingga 2014, saya hampir menyertai semua parti politik dan puak politik yang berbeza di Mesir.

“Saya meninggalkan Mesir secara sah melalui lapangan terbang dan saya sudah semak sebelum meninggalkan Mesir saya mendapati tiada apa-apa tindakan dikenakan kepada saya.

Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara pada November 2015 atas tuduhan demonstrasi dan tergolong dalam kumpulan ‘pengganas’ yang juga pertuduhan lazim dikenakan terhadap aktivis dan peguam di Mesir, di mana puluhan ribu dilaporkan berada di penjara kerana berbeza pandangan politik, mengikut laporan hak asasi manusia.

Aktivis dari Mesir itu juga dikenakan hukuman 25 tahun penjara yang dibicarakan tanpa kehadiran (absentia).

Ibrahim memfailkan untuk memperbaharui pasport di kedutaan Mesir di Malaysia kerana pertuduhan terhadapnya itu menghalangnya daripada memperbaharui visa atau meneruskan sebarang urusan dokumentasi di Malaysia.

“Saya tidak datang ke Malaysia merancang untuk mendapatkan suaka, saya tidak tahu bahawa saya tidak boleh memperbaharui pasport saya dan ada kes mahkamah tentera, jika saya kembali ke Mesir saya akan berada di penjara.

“Jadi apa yang saya minta hanyalah mana-mana negara untuk menerima saya, itu sahaja yang saya minta.

“Saya tahu bahawa semua penderitaan ini boleh dibatalkan dengan hanya menerusi tandatangan pada kertas suaka saya,” katanya. 

Sumber: Middle East Eye

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending