Connect with us

Terkini

Undi di tempat bermastautin, tidak perlu balik kampung

Orang ramai perlu mengubah budaya pulang ke kampung untuk mengundi setiap kali pilihan raya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, setiap individu sepatutnya mengundi di tempat mereka bermastautin atau tempat bekerja.

Wartawan TMT

Published

on

Undi di tempat bermastautin, tidak perlu balik kampung
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Setiap individu sepatutnya mengundi di tempat mereka bermastautin atau tempat bekerja.
  • Syaratnya mereka perlu tukar alamat pada kad pengenalan dan proses itu kini lebih mudah dan cepat.
  • Melaluinya juga isu persepsi negeri enggan bubar DUN menyusahkan rakyat kerana perlu keluar mengundi kali kedua pada PRN dapat diselesaikan khususnya bagi mereka yang pulang ke kampung untuk mengundi.
  • Ia memudahkan wakil rakyat salurkan bantuan kerana biasanya antara prosedur digunakan ialah melihat individu itu mengundi di mana.
  • Kenyataan dikeluarkan ADUN Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

SEREMBAN – Orang ramai perlu mengubah budaya pulang ke kampung untuk mengundi setiap kali pilihan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, setiap individu sepatutnya mengundi di tempat mereka bermastautin atau tempat bekerja.

“Contohnya, orang Kelantan tinggal di Selangor yang kebanyakannya sudah membeli rumah di tempat mereka bekerja. Cumanya mereka ada sentimen mahu mengundi di kampung.

“Jadi, budaya itu perlu diubah dan kebaikannya mereka mudah untuk pergi mengundi dan tak perlu melalui perjalanan berjam-jam pulang ke kampung,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, syaratnya mereka perlu menukar alamat pada kad pengenalan terlebih dahulu dan proses itu kini lebih mudah dan cepat.

Kata Mohamad Taufek lagi, persepsi yang negeri enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini menyusahkan rakyat kerana mereka perlu keluar mengundi kali kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak sepatutnya timbul.

“Dalam menyelesaikan isu ini, saya sarankan individu yang perlu pulang ke kampung untuk mengundi buat permohonan tukar alamat mengundi mereka selepas pilihan raya Parlimen supaya tak perlu pulang dua kali untuk mengundi pada pilihan raya DUN pula.

“Kita perlu menghormati pandangan kerajaan negeri atas alasan mahu menjaga kebajikan rakyat kerana risau akan banjir dan sepatutnya rakyat juga ada sikap prihatin dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengundi di tempat tinggal mereka terutama bagi yang telah bermastautin di situ.

Ujarnya, ia bagi memudahkan wakil rakyat menyalurkan bantuan kepada mereka kerana biasanya antara prosedur digunakan ialah melihat individu itu mengundi di mana.

“Contohnya, individu itu tinggal di Paroi, tapi tak mengundi di Paroi kerana alamat mengundi di luar sedangkan bajet dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk mereka tinggal dan mengundi di Paroi.

“Tapi jika ada isu terpencil misalnya mereka susah nak balik kampung jumpa wakil rakyat tempat mereka undi, kita akan bantu. Cuma biasanya, keutamaan diberi kepada pengundi di kawasan itu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending