Connect with us

Terkini

Tidak ada kompromi bagi parti politik yang pandang ringan soal agama Islam

Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi tiga nasihat utama ditujukan kepada semua parti politik khususnya buat pemimpin dan pasukan jentera masing-masing dalam menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Wartawan TMT

Published

on

Tidak ada kompromi bagi parti politik yang pandang ringan soal agama Islam
Foto: Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sumber Sinar Harian.
  • Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi tiga nasihat kepada semua parti politik dalam menghadapi musim PRU15.
  • Semua parti politik perlu perbaharui niat ketika memasuki kempen PRU akan datang.
  • “Dua tunjang utama politik Malaysia adalah rakyat dan agama. Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa ‘janji Puteri Gunung Ledang’ oleh pemimpin politik tidak bertanggungjawab.
  • Kita tidak mahu agama Islam selaku agama Persekutuan dikesampingkan oleh mana-mana parti yang memerintah kelak. Tidak ada kompromi bagi pihak memandang ringan soal agama.
  • “Tidak perlu keterlaluan benci dan memusuhi kerana hakikatnya kempen cuma perlawanan kebijaksanaan mengatur strategi promosi parti masing-masing di lapangan dan media sosial.“
  • Pihak terbabit dinasihatkan elak sebar fitnah kerana ia sekeji-keji bentuk kempen dan permainan politik.

SHAH ALAM – Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi tiga nasihat utama ditujukan kepada semua parti politik khususnya buat pemimpin dan pasukan jentera masing-masing dalam menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, semua pihak terbabit pertamanya diminta supaya memperbaharui niat ketika memasuki kempen PRU akan datang.

“Dua tunjang utama politik Malaysia adalah rakyat dan agama. Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa ‘janji Puteri Gunung Ledang’ oleh pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.

“Apatah lagi kita tidak mahu soal agama Islam selaku agama Persekutuan dikesampingkan oleh mana-mana parti yang memerintah kelak. Isu moral dan akhlak adalah asas pembinaan negara yang stabil, maju dan seimbang.

“Justeru, tidak ada kompromi bagi pihak yang memandang ringan soal agama,” katanya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Kedua, Zulkifli berkata, semua pihak terlibat dinasihatkan agar tidak keterlaluan membenci dan memusuhi antara satu sama lain semasa berkempen.

“Usik-mengusik itu biasa semasa kempen tetapi adab dan akhlak hendaklah dipelihara.

“Tidak perlu keterlaluan membenci dan memusuhi kerana hakikatnya kempen cuma perlawanan kebijaksanaan dalam mengatur strategi mempromosi parti masing-masing di lapangan dan media sosial,“ ujarnya.

Ketiga, beliau berkata, pihak terbabit juga dinasihatkan supaya mengelakkan daripada menyebar fitnah kerana ia disifatkan sebagai sekeji-keji bentuk kempen dan permainan politik.

Katanya, perbuatan fitnah boleh menaikkan seseorang yang jahat dan berupaya menjatuhkan seseorang yang baik.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau tertarik dengan kesungguhan sebahagian anak muda di platform TikTok yang merupakan pengundi baharu dalam membuat penelitian menerusi internet bagi menilai calon dan parti mahu dipilih pada PRU15.

“Hakikatnya, masih ramai pengundi baru yang kabur dalam hal ini. Selain carian di alam maya, saya sarankan supaya hadir ke rapat umum semua calon yang bertanding.

“Dapat maklumat sebanyak mungkin melalui pertanyaan, perbualan dengan pengundi yang lebih senior daripada pelbagai parti. Akhirnya, mohonlah petunjuk daripada ALLAH SWT melalui solat istikharah,” katanya.

Zulkifli berkata, secara idealnya, semua pihak mahukan pemimpin terbaik bagi diri dan generasi akan datang, namun realitinya keputusan yang dibuat adalah seumpama memilih antara dua kelemahan.

“Pilihlah yang lebih ringan atau kurang kelemahannya, asalkan mereka berjaya membuktikan kesungguhan mereka mengutamakan memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat dan memelihara agama. Selamat berkempen dan selamat mengundi,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending