Terkini
“Tiada isu antara saya dan Zahid Hamidi” – Ismail Sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai sebarang isu atau berlaku perpecahan seperti dakwaan atau tohmahan sesetengah pihak.

- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada isu atau perpecahan berlaku antara beliau dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Dakwaan itu lebih kepada misi memecah-belahkan mereka bagi kepentingan pihak tertentu menjelang PRU-15.
- “Saya beri jaminan, tiada isu antara saya dan Ahmad Zahid Hamidi, tetapi (wujud) ‘nasi-nasi tambah’ di luar sana,” – Ismail Sabri.
BAGAN DATUK – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai sebarang isu atau berlaku perpecahan seperti dakwaan atau tohmahan sesetengah pihak.
Naib Presiden UMNO itu berkata, adu domba mengenai perkara berkenaan adalah lebih kepada misi untuk memecahkan mereka, yang kelak menguntungkan pihak yang membuat tohmahan terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya beri jaminan, tiada isu antara saya dan Ahmad Zahid Hamidi, tetapi (wujud) ‘nasi-nasi tambah’ di luar sana sebenarnya kerana apabila kita berpecah, yang untung mungkin mereka.
“Pepatah Melayu menyatakan, ‘antan sama antan berlaga, ayam di tepi kekenyangan.’ Kita berlaga, dia untung. Jadi, marilah kita bersatu, biarkan dia yang rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau dan Ahmad Zahid duduk berbincang bagi menghentikan serta menepis tanggapan jahat itu.
Beliau menegaskan, adalah penting bagi BN untuk terus bersolidariti, mengukuhkan perpaduan supaya tidak lemah diserang tohmahan, khususnya oleh kem pembangkang.
Sumber: Bernama
