Antarabangsa
Enggan bayi diasuh pasangan songsang, keluarga kandung terima sokongan kerajaan Turki
Pada bulan Mei yang lalu, seorang bayi lelaki berusia 10 bulan dari keluarga Turki-Jerman telah diserahkan kepada Jugendamt, iaitu sebuah agensi kebajikan kanak-kanak Jerman.
- Bayi diserahkan kepada agensi kebajikan pada Mei kerana ibu kandung hilang kelayakan mengasuh akibat masalah psikologi.
- Agensi kebajikan tetap menyerahkan bayi kepada pasangan lelaki songsang untuk diasuh meskipun dibantah ibu bapa kandung.
- Ibu kandung memohon bantuan kerajaan Turki setelah hanya dibenarkan melawat bayinya sebulan sekali sahaja.
- Kerajaan Turki dapatkan khidmat peguam serta tawarkan dua sukarelawan warga Turki sebagai ibu bapa angkat ganti.
Pada bulan Mei yang lalu, seorang bayi lelaki berusia 10 bulan dari keluarga Turki-Jerman telah diserahkan kepada Jugendamt, iaitu sebuah agensi kebajikan kanak-kanak Jerman.
Ia berikutan ibu kandung kepada bayi tersebut didakwa mengalami masalah psikologi yang menyebabkan dia tidak layak untuk mengasuh bayinya sendiri. Demikian lapor akhbar tempatan Turki, Daily Sabah.
Kes ini mendapat liputan meluas di Turki apabila bantahan ibu bapa kandung bayi tersebut tidak diterima agensi malah bayi itu juga terus diserahkan kepada pasangan gay itu.
Mereka yang menetap di Duisburg, Jerman berkata, bayi mereka telah diserahkan kepada pasangan lelaki songsang dekat Cologne dan mereka menganggap perkara ini bermasalah.
Menurut ibu bayi tersebut yang mahu dikenali sebagai AK, dia hanya dibenarkan melawat bayinya sebulan sekali, dan hal itu menggesanya untuk memohon bantuan dari pihak berkuasa Turki.
Susulan daripada liputan meluas media, pejabat Kementerian Keluarga, Buruh dan Perkhidmatan Sosial Turki (FLSSM) di Dusseldorf telah mendapatkan khidmat peguam untuk keluarga tersebut. Menteri Keluarga dan Perkhidmatan Sosial, Derya Yanik juga turut berminat untuk turut serta dalam kes ini.
Tambah AK, “Kami berharap Jugendamt tidak melakukan kesilapan lagi dan meletakkan anak saya sekurang-kurangnya dengan keluarga Turki supaya dia berpeluang untuk mempelajari budaya dan bahasa Turki.”
Daily Sabah turut melaporkan yang pihak FLSSM telah mencadangkan dua sukarelawan warga Turki sebagai ibu bapa angkat yang mereka harapkan dapat dipertimbangkan oleh ibu bapa kandung tersebut.
Dalam ulasan baru-baru ini, kementerian itu dilaporkan berkata ia meminta negara tuan rumah untuk mempertimbangkan pilihan gaya hidup berdasarkan norma budaya dan moral dalam kes sedemikian sambil menilai proses penjagaan anak-anak Turki.
FLSSM telah meluaskan jangkauannya ke luar negara baru-baru ini. Ini bertujuan untuk mempromosikan pengambilan anak-anak Turki dalam komuniti ekspatriat di luar negara oleh ibu bapa angkat Turki.
Ditubuhkan pada tahun 1924 untuk melindungi kanak-kanak, Jugendamt dibayar oleh negara Jerman berdasarkan bilangan kanak-kanak yang dijaganya. Disebabkan ini, sesetengah ibu bapa angkat telah dikenalpasti memanipulasi isu penjagaan kanak-kanak demi kepentingan ekonomi mereka sendiri.
Kes AK ini pula timbul ketika organisasi itu menjadi terkenal kerana menyasarkan anak-anak keluarga pendatang.
Sumber: Pink News