Connect with us

Terkini

PAS lancar pelan tindakan tangani HIV, dengan prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
  • PAS semalam melancarkan Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero 2030 (GTZ 2030) untuk menangani isu HIV/AIDS di Malaysia secara lebih sistematik dan menyeluruh.
  • Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelaksanaan pelan tindakan itu didasari prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar, yang mendorong pendekatan pencegahan berteraskan nilai Islam dan bukti saintifik.
  • Pendekatan itu turut memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif Islam, melalui adaptasi modul yang disusun pakar-pakar Muslim pelbagai bidang, khusus untuk remaja dan komuniti.
  • Antaranya merangkumi pencegahan awal dalam kalangan generasi muda dan komuniti berisiko seperti golongan LGBTQ, pekerja seks dan penagih dadah dengan penekanan kepada konsep A-B-C-D : ‘Abstinence’, ‘Be Faithful’, ‘Condom,’ dan seterusnya ‘Drug‘.

KUALA LUMPUR — Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semalam melancarkan Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero 2030 (GTZ 2030) untuk menangani isu HIV/AIDS di Malaysia secara lebih sistematik dan menyeluruh.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelaksanaan pelan tindakan itu didasari prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar, yang mendorong pendekatan pencegahan berteraskan nilai Islam dan bukti saintifik.

Pendekatan itu menurut beliau turut memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif Islam, melalui adaptasi modul yang disusun pakar-pakar Muslim pelbagai bidang, khusus untuk remaja dan komuniti.

“Pelan Tindakan Komprehensif GTZ 2030 ini menggariskan pendekatan multi-dimensi, (antaranya) merangkumi pencegahan awal dalam kalangan generasi muda dan komuniti berisiko seperti golongan LGBTQ, pekerja seks dan penagih dadah dengan penekanan kepada konsep A-B-C-D : ‘Abstinence’, ‘Be Faithful’, ‘Condom,’ dan seterusnya ‘Drug‘.

“Program pemulihan spiritual dan psikososial menerusi Modul Hijrah dan CITY GTZ ke arah abstinen serta perkhidmatan rawatan bersepadu 3C (Comprehensive, Compassionate, Care) di Klinik HIV/PREP.

“Kempen advokasi media, termasuk usaha membanteras kandungan dan aplikasi siber berunsur seksual berisiko serta kajian impak dan penilaian kualiti program pencegahan dan perawatan ke arah abstinen,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Ahad.

Tuan Ibrahim berkata pelan tindakan itu dibangunkan bagi menyokong agenda nasional Ending AIDS 2030 yang menetapkan sasaran 95-95-95 iaitu 95 peratus individu berisiko menjalani saringan HIV, 95 peratus daripada mereka mengetahui status mereka dan 95 peratus daripada pesakit HIV berjaya mencapai kawalan viral load yang rendah.

Beliau berkata pelan itu merupakan satu usaha bersepadu parti menerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat dengan sokongan lajnah-lajnah lain serta NGO berkaitan di seluruh negara.

“PAS menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, NGO, institusi Pendidikan, media, dan masyarakat keseluruhannya untuk berganding bahu menjayakan agenda ini, tanpa mengira latar belakang politik sesama kita,” katanya.

Februari lalu, media melaporkan 90 peratus penghidap HIV di Malaysia terdiri daripada kelompok lelaki, manakala baki 10 peratus melibatkan golongan wanita.

Menurut Laporan Pemantauan AIDS Global 2024, Kementerian Kesihatan Malaysia dianggarkan 85,283 orang yang hidup dengan HIV (PLHIV) di negara ini pada akhir tahun 2023, di mana 71,927 (84 peratus) daripada mereka mengetahui status mereka dan telah dimaklumkan melalui sistem pengawasan negara.

Antara penyumbang terbesar kepada jangkitan HIV adalah disebabkan MSM (lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki), heteroseksual (seks dengan jantina berlainan) dan berkongsi peralatan suntikan. — The Merdeka Times

Author