Terkini
Pengampunan Diraja tidak boleh dipengaruhi hubungan rapat ahli politik dengan istana – pakar perlembagaan
Kebelakangan ini istilah ‘Pengampunan Diraja’ menjadi hangat terutama dalam dunia politik dan bagi masyarakat yang mengikuti kes melibatkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dikenakan hukuman penjara 12 tahun bersama denda RM210 juta.

- Pengampunan Diraja tercatat dalam Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan.
- Kuasa YDPA untuk ampun kesalahan yang dibuat di wilayah persekutuan atau di Mahkamah Tentera.
- Kuasa Yang di-Pertua Negeri untuk ampun kesalahan di bawah negerinya tetapi tidak kesalahan di Mahkamah Tentera.
- YDPA bertitah bahawa kuasa pengampunan tidak harus digunakan sewenang-wenangnya.
- Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz pula mengatakan bahawa Pengampunan Diraja tidak boleh memilih darjat kerana ia akan dilihat tidak adil oleh rakyat jelata.
KUALA LUMPUR – Kebelakangan ini istilah ‘Pengampunan Diraja’ menjadi hangat terutama dalam dunia politik dan bagi masyarakat yang mengikuti kes melibatkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dikenakan hukuman penjara 12 tahun bersama denda RM210 juta.
Majoritinya, berkemungkinan baru mendengar mengenai istilah tersebut semasa ahli politik iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan pengampunan penuh tanpa sebarang syarat sekitar tahun 2018.
Kini Pengampunan Diraja kembali dibangkitkan susulan penyokong Datuk Seri Najib mengharapkan ahli politik tersebut dikeluarkan dari penjara menerusi laluan yang sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, apakah sebenarnya Pengampunan Diraja? Adakah ia begitu mudah diperoleh dan bagaimana pula dengan prosedurnya?
Kuasa pengampunan ini bukanlah satu perkara baru sebaliknya telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri atau Perlembagaan Negeri.
Di Malaysia, kuasa pengampunan dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 42(1) yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) diberi kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera dan kesalahan-kesalahan di wilayah-wilayah persekutuan.
Sementara, Perkara 42(2) pula menjelaskan tentang kuasa Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri di negeri lain pula diberi kuasa pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di negeri masing-masing, tidak termasuk kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera.
Terbaharu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AL-Mustafa Billah Shah bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.
Baginda bertitah, undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil akan menjurus kepada penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.
Seiring itu, Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz turut menegaskan bahawa pengampunan tidak boleh dipengaruhi oleh perbezaan darjat supaya undang-undang tidak dilihat tidak adil oleh rakyat.
Justeru katanya, raja sebagai Ketua Negara yang memayungi rakyat harus memastikan prinsip keadilan diutamakan dalam membuat setiap pertimbangan. Ia tidak boleh dipengaruhi darjat seperti permohonan pengampunan diraja oleh golongan politik yang rapat dengan istana.
Sebaliknya, jika wujud perbezaan darjat dalam memberikan pengampunan ia akan membahayakan kedaulatan undang-undang negara.
Berikutan itu, beliau berpendapat pihak Lembaga Pengampunan, perlu mempunyai garis panduan, standard atau parameter yang jelas tentang bagaimana sesuatu pengampunan itu boleh diberikan mengikut kepada jenis kesalahan dilakukan.
Permohonan Pengampunan Diraja perlu mengikuti prosedur berikut :-
- Hantar petisyen atau rayuan kepada Lembaga Pengampunan menerusi Mahkamah Tinggi oleh wakil peguam atau pesalah sendiri.
- Lembaga Pengampunan akan mengadakan mesyuarat yang terdiri daripada Ahli Lembaga pengampunan iaitu YDPA sebagai pengerusi, Peguam Negara atau Peguam Negeri, Menteri yang menjaga hal ehwal negeri atau persekutuan tersebut serta 3 ahli yang dilantik YDPA.
- Jika keputusan setuju ampun, maka pesalah akan dibebas dan diampunkan.
- Jika tidak setuju ampun, maka permohonan akan kembali kepada permulaan proses mohon pengampunan.
Keputusan Lembaga Pengampunan tidak boleh dicabar. Pesalah yang dibebaskan dan diampunkan oleh Lembaga Pengampunan dianggap tidak pernah membuat kesalahan sebelum ini kerana setiap rekod kesalahan akan dipadamkan. – The Merdeka Times
