Connect with us

Terkini

Kes saman Lim Guan Eng, Hakim tarik diri dengar rayuan Azeez

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak samannya terhadap Lim Guan Eng.

Wartawan TMT

Published

on

Kes saman Lim Guan Eng, Hakim tarik diri dengar rayuan Azeez
Foto: Dari kiri, Lim Guan Eng, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
  • Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak saman Lim Guan Eng.
  • Saman itu berkenaan pembinaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
  • Beliau memutuskan menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana beliau mempunyai kaitan dengan pihak-pihak terbabit semasa beliau dalam bidang guaman.
  • “Oleh itu, kami menangguhkan perbicaraan hari ini ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian oleh pendaftar,” – Hakim.

PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak samannya terhadap Lim Guan Eng.

Saman itu berkaitan pembinaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Hakim Vazeer Alam, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, beliau memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana beliau mempunyai kaitan dengan pihak-pihak terbabit semasa beliau dalam bidang guaman.

“Oleh itu, kami menangguhkan perbicaraan hari ini ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian oleh pendaftar,” kata hakim itu pada permulaan prosiding yang dijalankan secara maya.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Seri Mariana Yahya.

Pada Khamis, mahkamah dijadual mendengar rayuan Ahli Parlimen Baling itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020, yang menolak samannya terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Peguam Datuk Porres Royan mewakili Abdul Azeez manakala Guan Eng diwakili N Mureli pada prosiding pada Khamis.

Advertisement

Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Guan Eng, bekas Menteri Kewangan, telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Februari 2018 dan dalam satu majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut itu.

Abdul Azeez mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan yang meluas dan diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik serta akhbar-akhbar tempatan.

Beliau memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan-kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.

Sumber: Bernama

Terkini

Pengiktirafan UEC lebih mudah di bawah Menteri Pendidikan sekarang – pensyarah

Pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate (UEC) akan jadi lebih mudah di bawah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berikutan ketika ini yang memerintah kerajaan adalah Pakatan Harapan yang berjanji untuk mengiktirafnya.

Hidayah Sani

Published

on

Pengiktirafan UEC lebih mudah di bawah Menteri Pendidikan sekarang - pensyarah
Foto: Dr Anuar Ahmad (hadapan), Fadhlina Sidek (belakang).
  • Ini berikutan ketika ini yang memerintah kerajaan adalah Pakatan Harapan yang berjanji untuk mengiktirafnya.
  • Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad menjelaskan PH tiada pilihan selain iktiraf UEC memandangkan undi kaum Cina telah menyumbang kepada kemenangan gabungan parti itu. 
  • Pandangan itu susulan kesemua parti yang sebelum ini bertegas menentang iktiraf UEC, kini boleh dikatakan seolah tidak lagi boleh diharapkan.
  • “Jadi sebenarnya sudah tiada lagi parti politik Melayu yang benar-benar lantang menentang pengiktirafan UEC. Sekarang yang tinggal hanyalah beberapa NGO Melayu Islam yang sebenarnya tiada taring. Tak boleh diharap juga.” – Dr Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate (UEC) akan jadi lebih mudah di bawah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berikutan ketika ini yang memerintah kerajaan adalah Pakatan Harapan yang berjanji untuk mengiktirafnya.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad menjelaskan PH tiada pilihan selain mengiktiraf UEC memandangkan undi kaum Cina telah menyumbang kepada kemenangan gabungan parti itu. 

Katanya, Fadhlina Sidek yang juga merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal dari Pakatan Harapan dapat menyelesaikan isu UEC.

“Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek baru dilantik. Di atas meja beliau, tentulah ada lambakan isu pendidikan yang perlu diberikan perhatian dan diselesaikan segera. 

“Semakin lambat tindakan penyelesaian semakin banyak persoalan dan keraguan akan timbul di kalangan rakyat. Salah satu isunya ialah pengiktirafan UEC.

“Saya melihat isu UEC akan dapat diselesaikan olehnya yang berada dalam posisi terbaik untuk memberikan titik noktah pada isu UEC. Pengiktirafan UEC akan jadi lebih mudah di bawah YB Fadhlina, Menteri Pendidikan yang baru ini.

“Dong Zong faham situasi ini. Jadi tentulah mereka akan pastikan yang mereka tidak terlepas peluang terbaik ini untuk mendapatkan pengiktirafan UEC dari kerajaan. Laluan Dong Zong semakin mudah,” tulis beliau dalam hantaran di Facebooknya.

Advertisement

Anuar berkata, sebenarnya janji pengiktirafan UEC di dalam manifesto PH sudah menjadi kemenangan besar buat Dong Zong yang sejak 1975 berjuang untuk memartabatkan UEC malah BN juga pernah memberikan janji yang hampir sama sebelum ini.

Pandangan beliau itu turut disumbang apabila kesemua parti yang sebelum ini dilihat bertegas menentang iktiraf UEC, kini boleh dikatakan seolah tidak lagi boleh diharapkan.

Katanya, dulu penentang utama pengiktirafan UEC ialah UMNO, BERSATU dan PAS iaitu kesemua parti Melayu namun buat pertama kali, UMNO sekarang di dalam kerajaan bersama PKR dan DAP.

Hal ini dilihat, akan menyebabkan pemimpin UMNO hilang suara untuk menentang pengiktirafan UEC.

“Jika tidak suka sekalipun, kena telan juga. Pasti ada sebahagian pimpinan UMNO yang akan tetap menentang pengiktirafan UEC tapi tentu tak cukup kuat untuk kerajaan PH menarik balik janji mereka untuk mengiktiraf UEC.

“GPS dan GRS pula sudah lama mengiktiraf UEC. Jadi tentunya mereka akan menyokong kuat pengiktirafan UEC oleh kerajaan PH.

Advertisement

“Tinggal BERSATU dan PAS sahaja lagi yang ada untuk menentang pengiktirafan UEC. Malangnya sejarah telah membuktikan pemimpin Melayu pertama mengiktiraf UEC  ialah Tan Sri Muhyidin Yasin, Presiden Bersatu.

“Beliau telah mengiktiraf UEC secara ‘partial’ pada tahun 2012 bagi tujuan pengambilan calon guru Bahasa Cina untuk Institut Perguruan Guru (IPG). Adakah ahli Bersatu akan menepuk dulang hingga terpercik ke muka presiden mereka sendiri?” tulis beliau, pada Isnin.

Melihat kepada situasi itulah, beliau beranggapan pemimpin BERSATU tidak akan menentang pengiktirafan UEC sekarang memandangkan sejarah membuktikan presiden mereka sendiri adalah pemula kepada usaha pengiktirafan UEC.

Malah, pengiktirafan ‘partial’ yang dimulakan tahun 2012 tu diteruskan Menteri Pendidikan di bawah kerajaan BN, PH dan PN.

“Saya pernah menimbulkan soalan mengapa KPM ketika itu perlu mengiktiraf UEC untuk calon untuk guru Bahasa Cina di IPG sedangkan cukup ramai calon SPM yang mengambil mata pelajaran Bahasa Cina? 

“Mengapa tidak pilih calon SPM untuk guru-guru Bahasa Cina ke IPG?” tulis beliau yang turut menyifatkan PAS juga tidak boleh diharapkan dalam isu ini.

Advertisement

Anuar mendakwa PAS tidak konsisten dalam isu pengiktirafan UEC dan sekolah vernakular di mana adakalanya parti itu ingin mengiktiraf UEC namun tidak lama kemudian mahu haramkannya pula.

Pegangan PAS yang tidak konsisten ini menyebabkan ia dilihat tidak boleh diharapkan malah Anuar berkata, sebenarnya PAS tidaklah begitu kuat untuk memimpin penolakan UEC.

“Pemimpin PAS dilihat lebih suka mempolitikkan dan menunggang isu UEC dan sekolah vernakular sahaja. Mereka tidak ikhlas dalam memperjuangkan isu menolak pengiktirafan UEC dan sekolah vernakular.

“Jadi sebenarnya sudah tiada lagi parti politik Melayu yang benar-benar lantang menentang pengiktirafan UEC.

“Sekarang yang tinggal hanyalah beberapa NGO Melayu Islam yang sebenarnya tiada taring. Tak boleh diharap juga,” tulis beliau.

Sumber : Facebook Anuar Ahmad

Advertisement

 

Teruskan Membaca
Advertisement

Kata Kunci

Advertisement

Trending