Connect with us

Terkini

Kes rasuah RM2.8 juta Mahkamah Sesyen arah Bung Moktar dan isteri bela diri

Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Wartawan TMT

Published

on

Kes rasuah RM2.8 juta Mahkamah Sesyen arah Bung Moktar dan isteri bela diri
Foto: Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.
  • Mahkamah Sesyen telah membuat keputusan supaya Bung Moktar dan isterinya Zizie Ezette membela diri.
  • Atas pertuduhan rasuah RM2.8 juta.
  • Hakim Rozina Ayob membuat keputusan bahawa pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Timbalan Ketua Menteri Sabah tersebut.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan suami isteri berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala pasangan itu diwakili peguam, Datuk K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.

Saksi itu termasuk bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FELCRA, Dr Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad, iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar serta Madhi Abdul Hamid.

Bung Moktar, 64, yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Sumber : Berita Harian

Author

Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending