Antarabangsa
Terima bantahan pertubuhan Hindu, India batal hasrat beri rumah kepada pelarian Rohingya
Kerajaan India membatalkan rancangannya memberi rumah kediaman percuma kepada pelarian Islam Rohingya di New Delhi susulan bantahan pertubuhan berhaluan kanan Hindu, Vishwa Hindu Parishad (VHP), yang menggelar komuniti pelarian itu sebagai “pengintip”.
- Kerajaan India batalkan rancangan untuk beri rumah kediaman percuma kepada pelarian Islam Rohingya di New Delhi ekoran bantahan pertubuhan berhaluan kanan Hindu, Vishwa Hindu Parishad (VHP).
- Menteri Perumahan dan Hal Ehwal Bandar India, Hardeep Singh Puri dalam ciapan Twitter pada 17 Ogos lalu mengatakan kerajaan India memutuskan untuk menyediakan rumah pangsa kepada pelarian Rohingya di Bakkarwala, Delhi, yang turut diperuntukkan dengan kemudahan asas dan perlindungan polis.
- Kerajaan India bagaimanapun membatalkan keputusan itu beberapa jam selepas ciapan Puri, manakala Kementerian Dalam Negeri India menafikan mengeluarkan perintah untuk menyediakan rumah pangsa kepada “pendatang haram Rohingya”.
- India menganggap Rohingya sebagai “pendatang haram” dan bukannya pelarian sejak berdekad lamanya.
INDIA – Kerajaan India membatalkan rancangannya memberi rumah kediaman percuma kepada pelarian Islam Rohingya di New Delhi susulan bantahan pertubuhan berhaluan kanan Hindu, Vishwa Hindu Parishad (VHP), yang menggelar komuniti pelarian itu sebagai “pengintip”.
Menteri Perumahan dan Hal Ehwal Bandar India, Hardeep Singh Puri berkata kerajaan akan menangani masalah perumahan untuk pelarian Rohingya, sekaligus memberi bayangan mengenai potensi perubahan dasar kerajaan terhadap komuniti pelarian dari Myanmar itu.
Ribuan pelarian Rohingya memasuki India sejak berdekad lamanya bagi melarikan diri dari keganasan dan penindasan di Myanmar.
Pelarian-pelarian etnik Rohingya itu mengusahakan pekerjaan kecil untuk menyara hidup dan menetap di koloni setinggan yang uzur di beberapa kawasan di negara majoriti Hindu itu.
Kerajaan memutuskan untuk menyediakan rumah pangsa kepada pelarian Rohingya di Bakkarwala, Delhi yang turut diperuntukkan dengan kemudahan asas dan perlindungan polis, demikian ciapan Puri yang juga pemimipin dari parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP).
India menganggap Rohingya sebagai “pendatang haram” dan bukannya pelarian sejak berdekad lamanya.
Voice of America (VOA) melaporkan ciapan Puri pada 17 Ogos lalu yang menggelar Rohingya di India sebagai “pelarian” telah mengejutkan ramai pihak.
Kerajaan India bagaimanapun membatalkan keputusannya beberapa jam selepas ciapan Puri pada Rabu lalu, manakala Kementerian Dalam Negeri India menafikan mengeluarkan perintah untuk menyediakan rumah pangsa kepada “pendatang haram Rohingya”.
Dalam satu lagi ciapan Twitter, Kementerian Dalam Negeri berkata pelarian Rohingya akan ditahan di pusat tahanan sehingga dihantar pulang ke Myanmar.
Jabatan di kementerian terbabit yang berurusan dengan pelarian Rohingya enggan mengulas lanjut mengenai isu itu bila ditanya VOA tentang penarikan balik keputusan penyediaan perumahan Rohingya itu.
Media tempatan melaporkan keputusan kerajaan membuat “pusingan U” itu kerana bantahan pertubuhan berhaluan kanan Hindu, VHP.
Sumber: Voice of America